
KPWKM anjur program sempena Hari Ibu 2023 dan Hari Keluarga Antarabangsa
PUTRAJAYA,. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat (KPWKM) melalui agensi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah mengatur beberapa program bagi meraikan Hari Ibu 2023 dan Sambutan Hari Keluarga Antarabangsa.
Pada Majlis Jalinan Kasih KPWKM bersama Kumpulan Sasar yang diadakan hari Isnin (15 Mei), Menteri KPWKM, Nancy Shukri mengumumkan KPWKM memilih tema Hari Ibu ‘Ibu, Suri Hatiku’ bagi menghargai peranan ibu dalam membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang.
“Tidak terlambat kiranya saya ingin mengucapkan tahniah kepada Delegasi Malaysia yang diketuai oleh Datuk Dr. Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat atas penganugerahan Ministerial Award berdasarkan pembentangan kertas bertajuk ‘Women Empowerment: At Least 30% of Women in Decision Making Position’ di Global Summit of Women di Dubai, UAE pada 5 Mei yang lepas,” kata Nancy.
Pengiktirafan ini diterima negara atas perkongsian amalan terbaik negara dalam usaha-usaha berterusan untuk pemerkasaan wanita sebagai pembuat keputusan di pelbagai sektor, katanya.
Antara program KPWKM yang diadakan sempena Hari Ibu dan Sambutan Hari Keluarga Antarabangsa ialah promosi pakej saringan KASIH Ibu secara percuma dari 15 hingga 20 Mei 2023 di 49 Klinik Nur Sejahtera LPPKN. Selain tu, Program Raikan Hari Ibu bersama KafeTEEN iaitu aktiviti advokasi media sosial video kreatif dan tip sempena Hari Ibu oleh para remaja dan Sahabat KafeTEEN turut dilaksanakan.
KPWKM juga melancarkan hashtag ‘IniKeluargaSaya’, sebuah kempen bersempena dengan Hari Keluarga Antarabangsa dan juga berdasarkan kempen Keluarga Harmoni, Negara MADANI yang akan berjalan sehingga Bulan Keluarga Kebangsaan pada November nanti.
Turut hadir pada Majlis Jalinan Kasih di Dewan Perdana Nur, KPWKM ialah Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara, Pengarah Institut Sosial Malaysia dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara.
“Majlis seumpama ini amat bermakna kerana mengumpulkan semua pihak yang bukan sahaja bekerjasama dengan Kementerian ini, tetapi juga mereka yang merupakan kumpulan sasar kami,” ulas Nancy.