KSM komited selesai masalah ketidakpadanan pekerjaan dalam kalangan siswazah

KSM komited selesai masalah ketidakpadanan pekerjaan dalam kalangan siswazah

REMBAU,. Kementerian Sumber Manusia (KSM) sentiasa komited menyelesaikan isu ketidakpadanan pekerjaan mengikut keperluan industri terutama dalam kalangan siswazah, kata Timbalan Menterinya Datuk Mustapha Sakmud.

Beliau berkata pada masa ini ekonomi negara berada dalam keadaan baik dengan banyak peluang pekerjaan ditawarkan, namun ada yang tidak dapat dipenuhi berkemungkinan kerana kelayakan pencari kerja tidak padan dengan permintaan.

Justeru, katanya pelbagai inisiatif dilakukan agensi di bawah KSM termasuk melalui pelbagai program karnival kerjaya, Program Bina Kerjaya Pekerja Sektor Tidak Formal dan Pelanjutan Insentif Penggajian Secara Bersasar.

“Kita dapat lihat kerja memang banyak, cuma isunya siswazah dilahirkan mungkin tidak padan dengan permintaan industri, sebab itu kita cuba untuk padankan melalui beberapa insitiatif itu. Saya rasa di peringkat universiti pun dah mulakan supaya apa-apa dibuat mesti dipacu industri.

“Jadi kita tahu apa yang dimahukan industri, kita tak mahu banyak kerja kosong tapi tidak bersesuaian dengan sijil, diploma atau ijazah yang dimiliki, berlaku ketidakpadanan… itu yang kita cuba kurangkan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya MyFutureJobs X Siswa MADANI Universiti Teknologi MARA (UiTM) 2023, yang turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM Prof Dr Mohd Sazili Shahibi di sini pada Jumaat.

Mustapha berkata beberapa agensi seperti TalentCorp sebelum ini juga giat melaksanakan program di universiti tempatan seluruh negara bagi membuat pemprofilan pemadanan mengikut keperluan industri.

“Kalau tak padan dengan ijazah mereka, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ada laksanakan program bina kerjaya sektor tak formal, walaupun menganggur dan sijil tak padan, kita latih mereka selama tiga ke enam bulan supaya dapat diserap dalam tenaga kerja mahir,” katanya.

Dalam pada itu, Mustapha berkata program karnival kerjaya yang diadakan hari ini bertujuan membantu siswazah dan pelajar tahun akhir khususnya pencari kerja mendapatkan pekerjaan sesuai dengan kelayakan yang dimiliki.

Beliau berkata karnival itu juga julung kali dikelolakan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Cawangan Negeri Sembilan sekali gus memberi peluang kepada mereka menganalisis keperluan majikan pada masa akan datang.
“Secara keseluruhannya di Negeri Sembilan, Program Karnival Kerjaya MyFuturejobs untuk tahun ini menawarkan 8,300 peluang pekerjaan dan setakat ini 6,100 individu berjaya mengisi pekerjaan itu,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)