KUALA LUMPUR,. Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan empat perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan bagi laluan KL Sentral-JB Sentral-KL Se
KUALA LUMPUR,. Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan empat perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan bagi laluan KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral setiap hujung minggu hingga 27 Dis ini bagi memenuhi peningkatan permintaan perjalanan penumpang ke sektor Selatan.
KTMB dalam kenyataan malam ini memaklumkan perkhidmatan tambahan itu akan beroperasi pada Jumaat, Sabtu dan Ahad selama 50 hari, dengan menawarkan 63,200 tempat duduk tambahan manakala jualan tiket telah dibuka sejak 7 Sept.
Perjalanan tambahan itu melibatkan perkhidmatan EX9572 dari JB Sentral pada 7 pagi dan EX9578 pada 5.30 petang ke KL Sentral, serta EX9573 dari KL Sentral pada 9.05 pagi dan EX9575 pada 11.55 pagi ke JB Sentral.
“Jualan tiket bagi empat perkhidmatan ETS tambahan itu telah mencapai 46 peratus daripada kapasiti yang ditawarkan setakat hari ini… KTMB menggalakkan penumpang membuat tempahan lebih awal, khususnya bagi perjalanan hujung minggu,” menurut kenyataan itu.
Dengan penambahan berkenaan, KTMB memaklumkan bahawa sebanyak 12 perkhidmatan ETS disediakan bagi laluan KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral termasuk lapan perkhidmatan sedia ada, menjadikan keseluruhan kapasiti hujung minggu sebanyak 189,600 tempat duduk.
Sementara itu, KTMB turut menyediakan lapan perkhidmatan EMUPlus tambahan dari 25 hingga 27 Sept, dengan Bandar Tasek Selatan menjadi satu lagi pilihan lokasi untuk penumpang memulakan perjalanan ke Ipoh selain Stesen Klang.
Perkhidmatan itu menawarkan 2,448 tempat duduk bagi laluan Bandar Tasek Selatan-Ipoh-Klang dan Klang-Ipoh-Bandar Tasek Selatan, dengan tiket telah mula dijual pada 22 Sept menerusi aplikasi KITS Style, laman sesawang rasmi KTMB serta kiosk tiket di stesen terpilih.
Menurut KTMB, perkhidmatan tambahan ETS dan EMUPlus itu sebahagian daripada usaha meningkatkan kapasiti serta menyediakan lebih banyak pilihan pengangkutan awam ketika permintaan perjalanan hujung minggu meningkat selaras dengan aspirasi Road to Rail.
“KTMB akan terus memantau corak permintaan dan jualan tiket bagi menyesuaikan penyediaan kapasiti perkhidmatan mengikut keperluan semasa.
“Orang ramai disaran untuk merancang perjalanan dan membuat pembelian tiket lebih awal melalui aplikasi KITS Style, laman sesawang rasmi KTMB atau kiosk tiket di stesen terpilih… penumpang juga dinasihatkan supaya tiba lebih awal di stesen bagi melancarkan urusan sebelum menaiki tren,” menurut kenyataan itu.
— BERNAMA

