
Laksanakan inisiatif untuk penjawat awam ikut masa, tanpa birokrasi
KUALA LUMPUR,. Semua inisiatif diumumkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (gambar) untuk penjawat awam dalam Bajet 2023 semalam diharap dapat disalurkan mengikut tempoh masa yang ditetapkan tanpa sebarang kelewatan serta proses birokrasi.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Adnan Mat berkata CUEPACS juga tidak mahu inisiatif yang diumumkan itu lewat atau tidak dilaksanakan selain ditetapkan mengikut jumlah peruntukan tertentu.
“Selain itu, segala inisiatif yang diumumkan untuk penjawat awam dan rakyat itu perlu dilaksanakan walaupun berlaku perubahan dalam kerajaan pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan semalam.
Petang tadi, menerusi Bajet 2023 yang diumumkan di Dewan Rakyat, penjawat awam bakal menerima kebenaran penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sehingga 50 peratus atau maksimum 90 hari dan bantuan khas kewangan Aidilfitri RM600 yang akan dibayar pada Mac 2023.
Mengulas mengenai kebenaran penebusan awal GCR, Adnan berkata kerajaan juga sewajarnya menyalurkan peruntukan untuk penebusan GCR berdasarkan permohonan dari semasa ke semasa dan bukannya memberikan sejumlah peruntukan tertentu yang tidak akan ditambah jika habis digunakan.
“Mengambil contoh peruntukan setiap kementerian dan jabatan bagi menebus GCR 80 hari pada tahun ini (Bajet 2022), ia didapati tidak mencukupi dan telah habis digunakan sehingga banyak permohonan daripada penjawat awam tidak dapat ditunaikan.
“Ini sekali gus memberi kekecewaan kepada warga perkhidmatan awam yang sudah dijanjikan dengan inisiatif tersebut tetapi tidak dapat menerimanya,” katanya.
Sementara itu, bagi menjayakan Bajet 2023, beliau memberi jaminan seluruh penjawat awam akan meletakkan keutamaan terhadap belanjawan negara itu dan perlu dipastikan bahawa rakyat juga turut mendapat manfaat yang komprehensif.
“Komitmen daripada seluruh warga penjawat awam dituntut bagi memastikan segala aspirasi kerajaan melalui Belanjawan 2023 ini dapat direalisasikan dengan jayanya agar rakyat mendapat manfaat.
“Tanggungjawab ini berkait dengan usaha dan proses penambahbaikan serta penyampaian sistem tadbir urus yang berkesan daripada seluruh warga perkhidmatan awam kerana kita adalah tonggak pentadbiran negara,” katanya.
— BERNAMA