Langgar SOP PPN, 122 Pengunjung Pusat Hiburan Terima Kompaun

Langgar SOP PPN, 122 Pengunjung Pusat Hiburan Terima Kompaun

UALA LUMPUR – Seramai 122 pengunjung dikompaun RM1,000 setiap seorang kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa peralihan ke endemik, dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Sultan Ismail, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner (ACP) Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua individu berusia 19 hingga 58 tahun itu dikompaun atas kesalahan tidak mengamalkan penjarakan fizikal semasa berada di dalam premis tersebut.

“Pengurus premis itu juga turut dikompaun sebanyak RM1,000 kerana gagal memastikan pengunjung mengamalkan penjarakan fizikal,” katanya hari ini. Beliau berkata, polis turut menahan dua individu yang didapati positif dadah dalam serbuan berasingan di sebuah pusat hiburan sekitar Jalan Raja Chulan, semalam.

“Kita telah menjalankan ujian saringan air kencing ke atas 21 pengunjung termasuk tujuh warga asing di pusat hiburan terbabit, yang berusia antara 20 hingga 49 tahun. “Hasil ujian saringan air kencing itu, dua individu didapati positif dadah jenis amphetamine dan direman sehari sehingga hari ini untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Noor Delhan berkata, kompaun sebanyak RM1,000 turut dikeluarkan kepada pengurus pusat hiburan terbabit.

“Tindakan kompaun tersebut dilakukan mengikut Peraturan 18 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (PPN) (fasa peralihan ke endemik) 2022,” katanya.

Noor Dellhan turut menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang telah dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Operasi dan pemeriksaan di pusat hiburan yang menjalankan aktiviti melanggar SOP di bawah PPN Fasa Peralihan Endemik akan dipertingkatkan oleh pihak polis demi menjaga kesejahteraan semua,” ujarnya.

-Getaran

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )