
Lantikan sepenuhnya 24 ahli di 16 PBT hujung bulan ini
JOHOR BAHRU,. Kesemua 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Johor akan menerima sepenuhnya lantikan 24 ahli majlis pada hujung bulan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Ayub Jamil berkata lantikan itu perlu dibuat bagi memastikan urusan di setiap 16 PBT berjalan dengan lebih lancar, dan menurutnya ketika ini jumlah ahli majlis di setiap PBT adalah seramai lapan hingga sembilan orang.
Menurutnya lantikan peringkat terakhir yang melibatkan 155 individu bagi melengkapkan jumlah 384 ahli majlis di semua 16 PBT di seluruh Johor untuk fasa kedua akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Dalam satu kenyataan di sini, beliau berkata berdasarkan Akta 171 Akta Kerajaan Tempatan 1976, PBT hendaklah terdiri daripada Datuk Bandar atau Yang DiPertua, dan setiap PBT hendaklah mengandungi tidak kurang daripada lapan dan tidak melebihi 24 ahli majlis.
Ayob menjelaskan kesemua lantikan yang dibuat adalah mengikut pembahagian jumlah ahli majlis yang mewakili parti politik terlibat dengan mengambil kira pelbagai faktor antaranya mengenai kedudukan representasi setiap pihak di setiap kawasan.
— BERNAMA