
Lawatan Media Dari Semenanjung Ke Kapit Sempena Hawana 2024
KAPIT,. Sempena Hawana yang dianjurkan di Sarawak pada tahun ini Seramai 10 anggota media termasuk dari Semenanjung Malaysia telah melawat Bahagian Kapit.
Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, yang juga Ahli Parlimen Kapit, berkata lawatan itu adalah sempena Hari Wartawan Negara (Hawana), yang akan dianjurkan oleh Sarawak pada 29 Mei.
“Jika anda ingin mengenali Kapit, anda perlu datang ke sini dan merasai sendiri bagaimana rasanya berada dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya,” katanya di Facebook.
Beliau berkata walaupun empat hari tiga malam acara itu tidak mencukupi untuk mengenali Bahagian Kapit yang seluas negeri Pahang, beliau berharap rakan media dari semenanjung dapat mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai kepelbagaian dan keharmonian di sana.
“Selain merasai sendiri sambutan pra-Gawai dan keunikan bandar Kapit, kumpulan media turut dibawa ke rumah panjang Nanga Engkuah di Ulu Katibas, Song, Sarawak, yang telah ditetapkan sebagai ‘Kampung Angkat Madani’ oleh Kerajaan Perpaduan, ” katanya.
Beliau berkata perjalanan menaiki bot selama enam jam itu pastinya menjadi pengalaman baharu buat rakan media.
Kampung ini terletak 50km dari bandar Song dan hanya boleh dicapai melalui sungai.
Terdapat tiga rumah panjang di kawasan itu – Rumah Assan, Rumah Radiah, dan Rumah Albert Lajong – dengan jumlah penduduk sekitar 650 orang.
“Sudah tentu banyak perancangan yang telah dan akan dilaksanakan untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk di sini.
“Menerusi program Kampung Angkat Madani ini, antara kawasan yang akan diberi tumpuan ialah pembinaan jambatan bagi memudahkan akses melalui jalan raya, selain lampu jalan solar.
“Pelbagai aktiviti sosioekonomi turut giat dilaksanakan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk di sini,” kata Nanta.
Beliau berkata media yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia diharap dapat melihat dan merasai perkembangan semasa di kawasan pedalaman Sarawak khususnya di Kapit.
–Agensi