Lelaki didakwa edar dadah 19.3kg

Lelaki didakwa edar dadah 19.3kg

MIRI: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis 3,4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 19.3 kilogram (kg). Tertuduh, Gui Zhi Huat, 31, dari Desa Indah, Bandar Baru Permyjaya di sini mengangguk faham apabila tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi.

Bagaimanapun tiada pengakuan salah direkodkan.

Mengikut pertuduhan kes, tertuduh telah didakwa mengedar dadah berbahaya jenis MDMA seberat 19,300 gram (19.3kg). Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik apartmen di Taman Piasau Indah, Jalan Bulatan di sini sekitar jam 4 petang, 18 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati, boleh disebat tidak kurang daripada 15 kali.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia berhubung barang kes siap manakala tertuduh yang tidak ditawarkan jaminan diperintahkan supaya ditahan lanjut sementara menunggu tarikh tersebut.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman.

-Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )