LIGA ARAB ADAKAN MESYUARAT LUAR BIASA BINCANG PERLINDUNGAN ANTARABANGSA UNTUK RAKYAT PALESTIN

HomeFeaturedBerita Semasa

LIGA ARAB ADAKAN MESYUARAT LUAR BIASA BINCANG PERLINDUNGAN ANTARABANGSA UNTUK RAKYAT PALESTIN

KAHERAH,. Liga Arab akan mengadakan mesyuarat luar biasa atas permintaan Palestin bagi membincangkan langkah segera untuk memberikan perlindungan anta

SISTEM PATEN TELUS PENTING LINDUNGI BIODIVERSITI, PENGETAHUAN TRADISIONAL – MYIPO
MALAYSIA AIRLINES SAMBUNG SEMULA PENERBANGAN JAKARTA SECARA BERPERINGKAT, LIMA MASIH BATAL
Projek rakyat diteruskan, KKR sedia laras skop hadapi kekangan kos – Nanta

KAHERAH,. Liga Arab akan mengadakan mesyuarat luar biasa atas permintaan Palestin bagi membincangkan langkah segera untuk memberikan perlindungan antarabangsa kepada rakyat Palestin susulan peningkatan serangan tentera dan peneroka haram Israel di Tebing Barat yang diduduki.

Menurut Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA), mesyuarat itu turut membincangkan keperluan untuk menegakkan undang-undang antarabangsa serta resolusi antarabangsa berkaitan status perundangan Baitulmuqaddis.

Wakil Tetap Palestin ke Liga Arab, Duta Muhannad Al-Aklouk, memberitahu WAFA pada Isnin bahawa mesyuarat itu akan diadakan di Sekretariat Agung Liga Arab ketika serangan oleh tentera dan peneroka haram Israel yang bersenjata terhadap rakyat Palestin serta harta benda mereka semakin meningkat.

Beliau berkata serangan itu merupakan dasar sistematik yang bertujuan memaksa masyarakat Palestin berpindah, memperluas petempatan haram Israel dan menjejaskan penyelesaian dua negara.

Mesyuarat itu turut membincangkan pencabulan yang menjejaskan Baitulmuqaddis dan status perundangan antarabangsanya, selain tindakan sesetengah negara membuka kedutaan di bandar raya itu.

Al-Aklouk berkata mesyuarat berkenaan diadakan ketika perjuangan Palestin berdepan cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Beliau menegaskan semula hak sah rakyat Palestin untuk menubuhkan sebuah negara merdeka yang mempunyai wilayah yang bersambung, berdaya maju dan berdaulat sepenuhnya, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara, serta bebas daripada petempatan haram, peneroka haram dan kehadiran tentera Israel.

Beliau berkata pendirian itu telah ditegaskan semula dalam beberapa sidang kemuncak Arab dan mesyuarat peringkat menteri sebelum ini, sambil menekankan keperluan untuk mengiktiraf Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) sebagai satu-satunya wakil sah rakyat Palestin.

Al-Aklouk memberi amaran bahawa peningkatan serangan oleh peneroka haram Israel di seluruh Tebing Barat yang diduduki, yang semakin terancang dan diselaraskan, menandakan fasa berbahaya dalam tindakan Israel terhadap rakyat Palestin.

Beliau berkata kenyataan dan pendirian masyarakat antarabangsa, walaupun penting, masih tidak mencukupi untuk menghalang serangan selanjutnya sekiranya tidak disertai tindakan punitif yang konkrit, termasuk mengenakan sekatan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Al-Aklouk menggesa masyarakat antarabangsa, parlimen serantau dan antarabangsa serta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mengambil tindakan segera bagi menghentikan serangan itu, memastikan pihak yang melakukan serangan dipertanggungjawabkan serta menyediakan perlindungan antarabangsa kepada rakyat Palestin.

— BERNAMA-WAFA