LKIM Perak bantu 4,206 komuniti nelayan terkesan pandemik COVID-19

LKIM Perak bantu 4,206 komuniti nelayan terkesan pandemik COVID-19

LUMUT,. Sebanyak 4,206 komuniti nelayan yang terjejas akibat pandemik COVID-19, menerima bantuan bakul makanan daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak, bernilai kira-kira RM60,000.

Pengarahnya Mohamad Rizal Sahari berkata, bantuan berkenaan diagihkan di seluruh negeri Perak sejak Mac tahun lalu, melalui bantuan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin.

“Bantuan bakul makanan keperluan asas diagihkan kepada nelayan sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab sosial kita bersama Persatuan Nelayan Kawasan, bagi membantu meringankan beban perbelanjaan ahli yang terjejas,” katanya ketika menyerahkan bantuan MAFI Prihatin dan kempen kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-64 dan 50 tahun LKIM di sini, semalam.

Mohamad Rizal berkata, selain mengagihkan bantuan mereka juga mengedar dan mengibarkan Jalur Gemilang bersama komuniti nelayan di jeti berkenaan, bagi menyemarakkan semangat bulan kemerdekaan.

“Kempen Jalur Gemilang ini adalah sebagai tanda semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan masyarakat dalam bulan kemerdekaan biarpun keadaan negara yang sedang menghadapi pandemik COVID-19,” katanya.

Sementara itu, seorang nelayan Osman Mat Said, 37, berkata, beliau dan komuniti nelayan setempat amat menghargai bantuan yang disalurkan itu, terutamanya dalam situasi sukar ketika ini.

“Bantuan ini memang sangat membantu, kerana sekarang kami tidak dapat keluar ke laut selalu kerana kerap hujan, malah hasil laut jugak agak kurang kerana musim obor-obor yang menyukarkan kami nelayan pukat hanyut untuk menangkap ikan,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )