MAHA 2026: Produk Antarabangsa Sasar Pasaran Malaysia, Perkukuh Peluang Perniagaan

HomeFeaturedBerita Semasa

MAHA 2026: Produk Antarabangsa Sasar Pasaran Malaysia, Perkukuh Peluang Perniagaan

KUALA LUMPUR,. Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 membuka peluang kepada pengeluar dan pengimport produk makanan

Pelabur asing kembali ke ekuiti Malaysia, catat aliran masuk bersih RM300.9 juta pada Julai
Polis tumpaskan ribuan akaun keldai, tahan lebih 2,000 individu di seluruh negara
Trump ancam kenakan tarif ke atas EU susulan denda terhadap syarikat teknologi AS

KUALA LUMPUR,. Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 membuka peluang kepada pengeluar dan pengimport produk makanan antarabangsa untuk meneroka serta memperluas pasaran di Malaysia, didorong oleh permintaan dan kuasa beli pengguna tempatan.

Pengedar produk ayam belanda Rusia, 3Bumi Trading Sdn Bhd, antara syarikat yang memanfaatkan MAHA 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) untuk memperkenalkan produk berkenaan kepada pasaran tempatan bagi memperluas rangkaian produk makanan dari Rusia di negara ini.

Pengurus Besar 3Bumi Trading Wan Katzlan Abdullah berkata ayam belanda Rusia mula dibawa masuk ke Malaysia pada Disember 2025 setelah diperakui halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sekali gus memperkukuh keterjaminan makanan dan ekosistem halal negara melalui sumber bekalan alternatif.

“Ayam belanda Rusia ini sememangnya sudah mendapat pensijilan halal daripada pihak berkuasa Rusia dan untuk memperkukuhkan lagi taraf halal itu, kami bekerjasama dengan Jakim seawal tahun 2023 untuk pemeriksaan termasuk dari segi penyembelihan mengikut syarak, keselamatan makanan dan pematuhan halal di peringkat ladang bagi mendapatkan pengendorsan halal Jakim,” katanya kepada Bernama.

Wan Katzlan berkata produk berkenaan kini telah mendapat sambutan daripada beberapa rangkaian pasar raya dan restoran di Malaysia, termasuk Jaya Grocer, Village Grocer, AEON dan juga boleh didapati di restoran Hameediyah cawangan Ampang.

Sementara itu, Uzbekistan melihat Malaysia sebagai pasaran baharu yang berpotensi tinggi bagi sektor pertaniannya, terutamanya dengan permintaan serta kuasa beli pengguna di Malaysia.

Pakar Utama Jabatan Pelaburan Kementerian Pertanian Uzbekistan, Jasur Ikhomjonov, berkata penyertaan julung kali negara itu dalam MAHA bertujuan untuk memperkenalkan produk pertanian dan makanan mereka, di samping mencari pengedar tempatan serta rakan perniagaan.

“Malaysia merupakan pasaran baharu bagi kami dalam sektor pertanian. Kami sedang berusaha untuk menembusi pasaran Malaysia dan menjadi rakan dagang anda,” katanya.

Antara produk yang menjadi tumpuan ialah palov, hidangan tradisional Asia Tengah yang disajikan sebagai makanan sedia dimakan dalam tin dan boleh disediakan hanya dengan memanaskannya di dalam ketuhar gelombang mikro.

Jasur berkata Uzbekistan turut melihat peluang untuk terus meluaskan kehadiran produknya di Malaysia menerusi penubuhan “Uzbek Corner” atau “Uzbek Town”, yang disasarkan untuk direalisasikan menjelang akhir tahun ini.

Bagi pempamer dari Palestin, penyertaan dalam MAHA 2026 merupakan satu daripada langkah untuk menonjolkan kecekalan dan ketahanan sektor pertanian mereka di tengah-tengah cabaran akibat pendudukan Israel.

Pembantu Pengarah Alradwan Global Trading Mohamad Majd berkata syarikat itu menampilkan produk pertanian Palestin termasuk kurma Medjool berkualiti premium, kurma bersalut coklat Belgium dan kacang pistasio, serta minyak zaitun dara ekstra tulen.

“Semua produk dalam pameran kami dikeluarkan dan dihantar terus dari Palestin ke Malaysia. Buat masa ini, kami tidak menjualnya. Kami cuma mempamerkan produk kami serta menunjukkan kekuatan pertanian Palestin walaupun mengharungi pelbagai kesukaran. Kami masih mampu untuk menunjukkan produk kami kepada dunia,” katanya.

Mohamad berkata penyertaan ini memberi peluang untuk mengetengahkan keunikan hasil pertanian Palestin, terutamanya kurma Medjool yang menarik perhatian pengunjung Malaysia disebabkan saiz, rasa, dan kualitinya.

Beliau berkata Alradwan turut mencari kedai runcit dan pengedar antarabangsa untuk meluaskan pasaran mereka, dengan produknya kini boleh didapati di beberapa negara Asia Tenggara termasuk Malaysia, Indonesia, dan Kemboja.

Selain itu, syarikat Foods & Breads Co. Ltd. yang dibawa khas daripada Hokkaido, Jepun yang mempamerkan tiga produk utama iaitu roti susu Hokkaido, doh sejuk beku, aiskrim “soft serve” dan ramen popular negara berkenaan iaitu Captain Ramen di pavilion Jepun, antara yang mendapat perhatian pengunjung.

Wakil pempamer syarikat berkenaan berkata produk istimewa mereka iaitu doh dan roti susu Hokkaido yang mempunyai jangka hayat sehingga 12 bulan itu menggunakan teknologi pemprosesan tertentu termasuk penggunaan ekstrak rumpai laut bagi membantu mengekalkan kelembapan produk dan susu segar dan gandum dari Hokkaido.

“Untuk produk roti ini, kita tidak menggunakan air. Asas cecairnya adalah susu segar sepenuhnya dari Hokkaido dan gandum itu sendiri juga adalah gandum tempatan dari Hokkaido,” katanya.

Beliau berkata produk berkenaan kini dalam proses mendapatkan pensijilan halal dari Jakim sebelum dipasarkan secara lebih meluas di Malaysia selain berhasrat untuk membuka sebuah kafe di Malaysia.

Pameran Pavilion Negara Antarabangsa, sebuah inisiatif di bawah MAHA Go Global, menghimpunkan 14 pempamer luar negara iaitu Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan, Brazil, Kenya, Uzbekistan, Denmark, Hungary, Belanda, Sepanyol, Rusia, Thailand dan Palestin pada edisi kali ini.

— BERNAMA