Makmal IDN platform pembangunan infrastruktur digital negara

Makmal IDN platform pembangunan infrastruktur digital negara

KUALA LUMPUR, 29 Julai — Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta agensi berkaitan sedang bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan komunikasi utama untuk membangunkan pelan infrastruktur digital menyeluruh bagi memenuhi keperluan rakyat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata perancangan itu sedang dibincangkan dalam Makmal Infrastruktur Digital Negara (Makmal IDN) yang bermula 13 Julai lepas dan dimudah cara oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menurutnya beliau telah diberikan taklimat oleh pihak penyedia perkhidmatan terlibat di bangunan Parlimen hari ini, mengenai perkembangan semasa Makmal IDN.

Dalam tempoh dua minggu pertama penganjurannya, Saifuddin berkata Makmal IDN secara dasar bersetuju mengenai definisi aspirasi kebangsaan untuk liputan dan kualiti perkhidmatan jalur lebar yang perlu dicapai bagi seluruh negara.

“Tumpuan khusus juga diberikan kepada perancangan meluaskan liputan perkhidmatan di kawasan luar bandar dan pedalaman, selain meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia turut mempertingkatkan ketersediaan maklumat infrastruktur digital sedia ada serta data lain yang berkaitan dari pelbagai sumber bagi membolehkan perancangan lebih berkesan.

Saifuddin berkata hasil perbincangan akhir Makmal IDN untuk memuktamadkan sasaran berkaitan pembangunan infrastruktur digital negara akan diketahui pada pertengahan Ogos ini.

Beliau berkata kerajaan amat prihatin dan mendengar permintaan rakyat untuk menikmati tahap kesalinghubungan dan kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi yang memuaskan.

“Keperluan kesalinghubungan digital menjadi semakin penting terutamanya pasca COVID-19. Perancangan dan pembinaan infastruktur digital yang lebih teliti, menyeluruh dan berkualiti yang menyokong sektor-sektor ekonomi dan bidang pertumbuhan baharu menjadi aspek yang mustahak,” katanya.

Saifuddin yang turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam Makmal IDN berkata hasil Makmal IDN akan menyediakan asas kukuh yang diperlukan untuk Revolusi Industri 4.0 dan teknologi mudah alih 5G.

Melihat kepada perkembangan perbincangan Makmal IDN setakat ini, beliau melahirkan keyakinan bahawa satu pelan infrastruktur digital yang menyeluruh dapat dimuktamadkan bagi membolehkan sektor-sektor penting mendapat manfaat dalam persekitaran ekonomi digital dan norma baharu.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )