Malaysia Airlines terbangkan kontinjen negara ke Olimpik Tokyo

Malaysia Airlines terbangkan kontinjen negara ke Olimpik Tokyo

KUALA LUMPUR,. Penerbangan Malaysia Airlines diberi penghormatan untuk menerbangkan para atlet dan pegawai Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa syarikat penerbangan Malaysia Airlines telah dilantik sebagai rakan penerbangan rasmi bagi kontinjen Malaysia yang bertanding dalam 10 acara sukan di Olimpik Tokyo, yang dijadual bermula 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Kumpulan pertama atlet dijangka berlepas dari Kuala Lumpur pada 8 Julai ini melalui pesawat MH070, manakala kumpulan kedua pada 17 Julai melalui pesawat MH9118, yang turut disertai duta jenama Malaysia Airlines, iaitu penerjun negara Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri.

Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata badan penaung sukan itu gembira dapat berkerjasama dengan Malaysia Airlines bagi kejohanan kali ini.

“Malaysia Airlines memainkan peranan penting dalam memastikan keselesaan dan keselamatan para atlet kita semasa perjalanan ke kejohanan nanti yang pastinya akan memberi kesan positif kepada persediaan mereka untuk bertanding di Tokyo.

“Kami berbangga dengan perkongsian ini yang akan menemukan dua wakil terbaik negara, yakni kumpulan atlet negara bertaraf dunia dan syarikat penerbangan negara bertaraf dunia. Kedua-duanya mewakili apa yang terbaik di negara kita, terbang tinggi dan melampaui jangkaan,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Kapten Izham Ismail berkata adalah satu penghormatan untuk menerbangkan kontinjen negara ke Olimpik selepas kejayaan membawa pasukan bola sepak kebangsaan, skuad Harimau Malaya ke kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan perlawanan persahabatan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain baru-baru ini.

“Sebagai syarikat penerbangan negara, kami berbangga diberi kepercayaan untuk menerbangkan kontinjen kebangsaan dan berganding bahu untuk mengibarkan bendera negara ke seluruh dunia melalui acara sukan.

“Kami komited dalam menawarkan standard keselamatan dan kebersihan tertinggi dalam setiap langkah di sepanjang penerbangan bagi memastikan atlet negara dapat terbang dengan yakin dan selesa untuk tampil di kejohanan nanti, terutama pada musim pandemik COVID-19 ini,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)