SEPANG,. Malaysia akan membawa isu jerebu rentas sempadan ke mesyuarat peringkat Menteri Luar ASEAN sebelum Sidang Kemuncak ke-49 blok itu di Manila,
SEPANG,. Malaysia akan membawa isu jerebu rentas sempadan ke mesyuarat peringkat Menteri Luar ASEAN sebelum Sidang Kemuncak ke-49 blok itu di Manila, Filipina, bulan depan bagi membincangkan mekanisme serantau yang lebih berkesan menangani masalah tersebut.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata isu jerebu perlu diberi perhatian khusus memandangkan ia tidak termasuk dalam mekanisme ASEAN sedia ada berkaitan bencana alam.
“Kita memang ada mekanisme (dalam) ASEAN berkenaan dengan bencana alam tapi jerebu tidak termasuk (diklasifikasikan) sebagai bencana alam.
“Jadi memang ia menjadi satu daripada isu yang saya sendiri akan bawa dalam mesyuarat dengan rakan sejawat saya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri kebarangkatan pulang Raja Jordan Raja Abdullah II di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata beliau telah menghubungi rakan sejawat dari Indoesia Arrmanatha Nasir untuk mendapatkan perkembangan terkini berhubung usaha memadamkan kebakaran di negara itu.
Beliau berkata Arrmanatha memaklumkan keadaan penglihatan yang amat buruk di kawasan terjejas menyukarkan operasi penerbangan bagi memadamkan kebakaran.
“Mereka (Indonesia) ada 3 atau 4 kapal terbang dan 34 helikopter tapi tidak boleh naik (berlepas) kerana keadaan penglihatan yang begitu buruk, tidak selamat bagi apa-apa juga penerbangan di kawasan tersebut.
“Tetapi mereka telah pun mengerahkan 60,000 orang untuk bekerja di lapangan,” kata Mohamad sambil menambah negara itu turut berdepan cabaran kerana lokasi kebakaran terletak jauh di pedalaman, selain masalah bekalan air selain api yang masih membara di kawasan tanah gambut.
Beliau berkata usaha pembenihan awan juga dilaporkan tidak dapat dilakukan di Indonesia buat masa ini berikutan ketiadaan awan kumulonimbus yang sesuai.
Mohamad berkata Malaysia mengiktiraf bahawa kerajaan Indonesia sedang berusaha sedaya upaya untuk memadamkan kebakaran dan bersimpati dengan keadaan yang melanda negara itu.
Namun, beliau berkata Malaysia berharap langkah lebih berkesan dapat diambil negara jiran itu kerana situasi terkini memudaratkan rakyat.
— BERNAMA

