Malaysia boleh perkukuh industri semikonduktor bagi perkasa inovasi agro – Liew

Malaysia boleh perkukuh industri semikonduktor bagi perkasa inovasi agro – Liew

KUALA LUMPUR,. Malaysia boleh memanfaatkan dan memperkukuh industri semikonduktor untuk memperkasakan inovasi dalam sektor pertanian terutamanya bagi memastikan keselamatan makanan, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Beliau menekankan bahawa Malaysia mempunyai kelebihan berbanding banyak negara iaitu keupayaan semikonduktor yang mantap dan boleh dimanfaatkan untuk mewujudkan lebih banyak integrasi horizontal meliputi pelbagai industri.

“Arab Saudi dan negara-negara lain bimbang mengenai keselamatan makanan. Oleh itu, kita perlu memikirkan mengenai kaedah bagaimana untuk menggunakan teknologi dalam sektor makanan dan pertanian dan menghubungkannya dengan pihak berkaitan.

“Sebelum ini, kita sentiasa menumpukan untuk hanya memenuhi pasaran Amerika Syarikat. Bagaimanapun kini kita perlu memikirkan kaedah untuk menghasilkan makanan melalui teknologi bagi membantu dunia menangani isu keselamatan makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai sesi khas bertajuk Meningkatkan Pelaburan ASEAN- GCC-China di Forum Ekonomi ASEAN-GCC 2025 di sini pada Rabu.

Selain itu, beliau berkata sekiranya Malaysia berupaya menjadi kuasa teknologi, negara ini boleh membantu negara yang kurang membangun antaranya dalam menguruskan teknologi seperti pertanian dan industri automotif.

“Kita mungkin tidak mempunyai teknologi terbaik. Namun, jika kita dapat melahirkan beberapa teknologi, ia mungkin dapat membantu negara seperti Arab Saudi, Bangladesh dan benua Afrika — dengan berpandangan sedemikian — oleh itu Malaysia berada dalam kedudukan menarik dan unik,” katanya.

Menurut Liew Malaysia pada masa ini sedang mengadakan perbincangan terperinci dengan Brazil, yang menyatakan minat mendalam terhadap industri semikonduktor Malaysia dan berhasrat untuk meneroka potensi kerjasama.

“Banyak syarikat asing di Pulau Pinang pada masa ini melabur di India. Oleh itu, India mahu bekerjasama dengan kita berikutan kemampuan semikonduktor dan kita mempunyai ekosistem berkenaan.

“Diharapkan kita dapat mencipta lebih banyak teknologi melalui apa yang kita ada dan pada akhirnya menyaksikan Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan dan teknologi,” katanya.

Beliau turut mengulas mengenai sesi khas bersama Timbalan Menteri Hubungan Antarabangsa Kementerian Pelaburan Arab Saudi Sara Al Sayed, Pengerusi China Energy Engineering Corporation Song Hai Liang dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Maybank Datuk Khairussaleh Ramli.

Menurutnya dunia pada masa ini sedang berdepan dengan rantaian bekalan multipolar, dan bukan lagi sebagai rantaian bekalan unipolar yang disokong oleh geopolitik.

“Dunia telah berubah dan kita memerlukan kaedah berfikir yang berbeza. Dalam konteks ini, menghimpunkan negara ASEAN, GCC (Majlis Kerjasama Teluk) dan China merupakan satu pendekatan yang bijak.

“Apa yang kita harapkan adalah untuk melihat lebih banyak kerjasama berpotensi dalam kalangan blok ini, saling melengkapi dari segi teknologi dan pembangunan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )