Malaysia ketandusan pemimpin wanita?

Malaysia ketandusan pemimpin wanita?

KUALA LUMPUR,. Peranan wanita kian berubah seiring dengan peredaran masa dan golongan ini berupaya menggalas tanggungjawab yang besar dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan progresif.

Namun, satu tinjauan ringkas mengenai pemimpin pelapis pilihan pembaca yang dijalankan media tempatan baru-baru ini telah menimbulkan persoalan apabila tiada nama pemimpin wanita disenaraikan sebagai pilihan untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Adakah wanita masih kurang diberi perhatian dalam arena politik tanah air, pentadbiran kerajaan mahupun dalam bidang-bidang penting, sekali gus penerimaan wanita masih konservatif dalam kalangan masyarakat berbanding lelaki?

Pakar Gender Profesor Madya Dr Jamaluddin Aziz berkata walaupun beberapa jawatan penting di Malaysia diisi golongan wanita tetapi masih terdapat jurang perbezaan statistik dan persepsi rakyat Malaysia mengenai penglibatan wanita dalam bidang-bidang tertentu.

Beliau berkata hanya lapan atau 18 peratus daripada 43 jawatan tertinggi kerajaan seperti Ketua Setiausaha kementerian atau pengarah sesebuah kementerian yang diisi di negara ini dipegang oleh kaum hawa.

“Bagaimanapun, apabila dibandingkan dengan laporan Grant Thornton International Business Report (IBR), wanita merangkumi 33 peratus jawatan dalam pengurusan kanan dalam syarikat swasta di Malaysia. Terdapat perubahan di sini,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia itu memperincikan Indeks Jurang Gender Global 2020 yang menunjukkan penglibatan wanita agak menurun iaitu jatuh tiga anak tangga (104) berbanding 2019 dan katanya, ia menjelaskan terdapat kelemahan dan wujudnya jurang gender di negara ini.

Justeru, Dr Jamaluddin yang pernah berkhidmat sebagai Pakar Gender Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menegaskan kesaksamaan gender bukan bermaksud 50/50 iaitu angka wanita dan lelaki adalah sama atau separuh.

Menurut kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, penyertaan wanita masih rendah iaitu 55.6 peratus pada 2019 jika dibandingkan dengan Singapura (69.1 peratus).

Mengulas mengenai penglibatan wanita dalam dunia politik negara, penganalisis politik dan perundangan Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata politik di Malaysia terikat dengan struktur organisasi sebuah parti politik yang mempunyai kuota tersendiri merangkumi wanita, pemuda dan puteri.

Oleh itu, beliau berkata sudah tiba masanya bagi sayap wanita setiap parti politik untuk lebih lantang dalam permintaan bagi menjadi calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Sebenarnya ramai pemimpin wanita yang berkaliber, ramai berpotensi menjadi calon pilihan raya dan memegang jawatan kanan dalam kerajaan. Jadi, kuota yang diagihkan parti politik itu perlu disemak semula,” katanya.

Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara itu berkata politik tanah air memerlukan anjakan paradigma dalam memilih calon pilihan raya dan menyemak semula agihan mengikut sayap supaya selaras dengan keadaan semasa.

Beliau juga berpandangan bahawa pemimpin ‘warga emas’ perlu digantikan dengan pemimpin muda atau wanita bagi mentadbir negara.

Malaysia mempunyai 33 ahli Parlimen wanita daripada 222 secara keseluruhan iaitu 14.9 peratus.

Sementara itu, Pegawai Kanan Advokasi Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) Rusni Tajari berkata golongan wanita masih berdepan stereotaip yang dibebankan kepada mereka yang tugas dan peranan wanita terbatas di rumah.

Beliau berkata ‘toksik maskuliniti’ iaitu budaya kepimpinan yang berunsurkan lelaki juga masih berleluasa dan masyarakat menganggap hanya lelaki sahaja yang boleh menjadi pemimpin organisasi atau negara.

Menurutnya, perkara tersebut dapat dilihat apabila kes keganasan rumah tangga dan keganasan berasaskan gender semakin meningkat sepanjang tahun lepas.

“Statistik WAO menunjukkan pihaknya menerima 1,442 panggilan talian keganasan domestik pada Januari hingga Oktober 2020 manakala 1,496 aduan diterima menerusi applikasi WhatsApp, Think I Need Aid (TINA) bagi masalah yang sama. Ia meningkat berbanding 579 (panggilan) dan 816 aduan menerusi TINA pada 2019,” tegasnya.

Beliau mendedahkan wanita yang masih dilihat lemah dan sering ditindas adalah daripada kategori golongan B40 dan minoriti seperti Orang Asli dan pelarian.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)