Malaysia Perkukuh Komitmen SDG, Pengurangan Kemiskinan Jadi Bukti Kemajuan

Malaysia Perkukuh Komitmen SDG, Pengurangan Kemiskinan Jadi Bukti Kemajuan

KUALA LUMPUR, 19 Februari 2025 – Malaysia semakin mendekati sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) apabila 12 daripada 17 matlamat mencatat perkembangan positif, dengan salah satu kejayaan terbesar ialah pengurangan kadar kemiskinan mutlak sebanyak 6.2 peratus.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib, menegaskan bahawa pencapaian ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh pembangunan sosial dan ekonomi negara.

“Kejayaan ini adalah hasil dasar yang mampan serta program yang menyasarkan kesejahteraan rakyat. Selain itu, dalam usaha memperjuangkan kesaksamaan gender, Akta Antigangguan Seksual 2022 telah diperkenalkan, diikuti dengan penubuhan Tribunal Anti Gangguan Seksual yang akan mula beroperasi Mac ini,” jelasnya di Parlimen, Rabu.

Dari segi tenaga, Malaysia terus menunjukkan prestasi cemerlang dengan kadar akses elektrik kini berada pada 99.7 peratus, manakala penggunaan tenaga boleh baharu meningkat kepada 19.7 peratus. Kejayaan ini sebahagian besarnya didorong oleh usaha memperluaskan tenaga hijau, termasuk projek hidroelektrik dan pembinaan ladang solar terapung terbesar di negara ini.

Walaupun pencapaian ini memberangsangkan, Hanifah mengakui bahawa masih ada halangan yang perlu diatasi, termasuk isu tadbir urus, kebergantungan tinggi kepada kerajaan, serta cabaran dalam pembangunan infrastruktur dan pelaksanaan dasar.

Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa kejayaan mencapai SDG memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak, termasuk sektor swasta dan badan bukan kerajaan, bagi memastikan pembangunan negara dapat dicapai secara menyeluruh dan mampan.

Jawapan ini diberikan sebagai respon kepada pertanyaan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, yang ingin mengetahui tahap pencapaian Malaysia dalam memenuhi 17 SDG serta cabaran yang menghalang usaha ke arah pencapaiannya.

gerbangpost.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )