Manfaatkan RCEPP dan transaksi bilateral LCT untuk kukuhkan ringgit

Manfaatkan RCEPP dan transaksi bilateral LCT untuk kukuhkan ringgit

Oleh: Dr. Adilah A. Wahab

Ringgit didapati menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga hari ini. Penyusutan ini adalah sejajar dengan mata wang serantau seperti Indonesia Rupiah (IDR) dan Thailand Baht (THB) yang juga menunjukkan tren penyusutan berbanding dolar AS.

Untuk rekod, Ringgit telah menyusut berbanding dolar AS iaitu 4.6300/AS pada 1 September 2023 daripada 4.5200/AS pada 1 Ogos 2023. Penyusutan Ringgit ini selari dengan penyusutan IDR yang menunjukkan 15,224.75/AS pada 1 September 2023 daripada 15,139.50/AS pada 1 Ogos 2023.

Para penganalisis ekonomi menyatakan faktor utama yang menyebabkan penyusutan mata wang Ringgit, Rupiah dan negara serantau disebabkan bank pusat AS yang menaikkan kadar faedah AS untuk jangka masa yang agak lama untuk menstabilkan kadar inflasi mereka. Pengerusi Rizab Persekutuan AS memberi amaran kepada negara Asia kerana bekemungkinan mereka akan menaikkan kadar faedah AS tidak lama lagi.

Namun adakah Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan transaksi bilateral (local currency transaction – LCT) mampu mengukuhkan mata wang Ringgit berbanding dolar AS?

Untuk makluman, Malaysia telah menguatkuasakan perjanjian RCEP pada 18 Mac 2022.Ianya merupakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) terbesar di dunia dengan pasaran meliputi 15 negara. Objektif RCEP adalah untuk menyelaras dan menggabungkan FTA ASEAN menjadi satu perjanjian perdagangan serantau yang boleh menyumbang kepada pengukuhan rantaian nilai serantau yang juga menitikberatkan kemajuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Lebihan dagangan Malaysia pada Julai 2023 meningkat 7.9% tahun ke tahun kepada RM17.09 bilion dan merupakan lebihan dagangan yang ke-39 bulan berturut-turut sejak Mei 2020. Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pertumbuhan lebihan dagangan adalah majoritinya disebabkan perdagangan bersama rakan dagangan RCEP.

Ini dapat dilihat dari pertumbuhan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) ke Korea Selatan yang meningkat 6.2% kepada RM4.4 bilion. Sementara itu, eksport keluaran petroleum ke New Zealand mengembang 94.2% kepada RM634.8 juta. Justeru itu, apabila berlaku peningkatan eksport, ianya akan memberi kesan kepada nilai Ringgit.

Pada tahun 2016, pengeksport tempatan perlu menukar 75 peratus hasil yang dijana daripada eksport kepada ringgit dan hanya 25 peratus dibenar dikekalkan dalam mata wang asing. Pada 2021, Bank Negara Malaysia (BNM) telah memansuhkan peraturan tersebut. Permansuhan peraturan penukaran eksport ini adalah untuk membolehkan pengeksport menguruskan perolehan eksport berdasarkan keperluan aliran tunai mata wang asing mereka.

Namun begitu, apabila pengeksport tempatan mendapat bayaran dalam dolar AS dan wang tersebut tidak ditukar dalam Ringgit ianya berkemungkinan boleh menjatuhkan nilai Ringgit berbanding dolar AS. Kejatuhan Ringgit akan mejadi ketara apabila keuntungan eksport itu besar dan tiada penukaran kepada Ringgit. BNM berkata mereka akan campur tangan dalam pasaran pertukaran asing untuk membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan.

Selain RCEP, transaksi bilateral (LCT) juga merupakan salah satu strategi untuk mengurangkan kebergantungan pengeksport atau pengimport tempatan kepada dolar AS sebagai mata wang pengantara, dan seterusnya mengukuhkan Ringgit. Pada tahun 2016, Bank of Thailand dan BNM mencapai persetujuan transaksi LCT untuk menggunakan mata wang tempatan masing-masing, baht dan ringgit.

Kemudiannya, pada Disember 2017 Bank Indonesia turut menyertai transaksi LCT ini bersama BNM. Kini, Malaysia sedang membangunkan mekanisme pembayaran untuk berdagang dengan China dengan menggunakan Ringgit.

Sebagai salah satu langkah mengurangkan kebergantungan terhadap dolar AS, transaksi LCT ini perlu diperluaskan lagi kepada destinasi eksport negara yang aktif menjalankan perdagangan seperti Hong Kong (RM 8,090 juta), Korea Selatan (RM 4,395 juta) dan India (RM 4,019 juta). Dengan itu, pengeksport tempatan tidak akan menggunakan dolar AS sebagai mata wang pengantara, lebih menggunakan Ringgit dan seterusnya mengukuhkan Ringgit di pasaran.

Tambahan, Malaysia juga perlu pertimbangkan untuk menyertai kesatuan ekonomi Brazil, Rusia, India, China dan Africa (BRICS). Salah satu objektif kesatuan BRICS adalah mengembangkan keluasan ekonomi BRICS dan memecahkan monopoli dolar AS. Mulai 1 Januari 2024, Argentina, Ethiopia, Iran, Arab Saudi, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan menyertai BRICS sebagai ahli baru. Dengan penyertaan ahli negara yang baru, BRICS memegang 60% rizab gas dan minyak dunia.

Penyertaan BRICS dapat mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada hubungan dagangan dengan AS dan Eropah. Justeru, kita tidak perlu lagi bergantung kepada dolar AS kerana wujudnya alternatif lain seperti mata wang Ruble (Rusia) atau Emirati Dirham (UAE) atau mata wang negara BRICS yang lain. Sewaktu Persidangan BRICS ke-15 di Johannesburg, mereka mengumumkan jumlah urus niaga dalam BRICS yang menggunakan dolar AS dan EURO sebagai wang perantara menunjukkan tren menurun. Ini menunjukkan satu percapaian yang memberangsangkan.

Oleh yang demikian, RCEP, transaksi bilateral dan penyertaan kesatuan BRICS berkemungkinan dapat bantu untuk mengukuhkan nilai Ringgit berbanding AS. Namun strategi-strategi tersebut memerlukan pemantauan dari BNM, MITI dan pihak kerajaan yang terlibat. Pemantauan yang teliti dan rapi amat diperlukan, AS pada bila-bila masa sahaja akan meningkatkan kadar faedah mereka dan menyebabkan Ringgit jatuh kepada paras yang lebih rendah berbanding dolar AS.

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di [email protected]

-DG

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)