Mangsa banjir di Kelantan meningkat, lebih 2,000 berlindung di 14 PPS

Mangsa banjir di Kelantan meningkat, lebih 2,000 berlindung di 14 PPS

KOTA BHARU,. Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 2,632 orang daripada 799 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 1,741 orang daripada 556 keluarga malam tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa kini berlindung di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di jajahan Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok dan Tanah Merah.

Di Pasir Mas, sebanyak 10 PPS dibuka melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh, Rantau Panjang yang menempatkan 572 mangsa daripada 190 keluarga, SK Gual Tinggi (226 mangsa daripada 47 keluarga), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial, Rantau Panjang (573 mangsa daripada 197 keluarga), SMK (Agama) Lati (88 mangsa daripada 23 keluarga) dan Masjid Mukim Padang Licin (69 mangsa daripada 20 keluarga).

Lima lagi PPS ialah SK Gual Periok yang menempatkan 262 mangsa daripada 73 keluarga, SK Sri Kiambang (163 mangsa daripada 52 keluarga), SK Chicha Tinggi (79 mangsa daripada 20 keluarga), SK Lati (223 mangsa daripada 62 keluarga) dan SMK Gual Periok (115 mangsa daripada 31 keluarga).

Di Bachok, terdapat 221 mangsa daripada 70 keluarga berada di PPS SMK Beris Panchor dan SK Jelawat.

Sementara itu, masing-masing sebuah PPS dibuka di jajahan Kota Bharu iaitu SK Pangkal Kalong dengan 19 mangsa daripada lima keluarga dan Balai Raya Padang Kijang di Tanah Merah yang merekodkan 22 mangsa daripada sembilan keluarga.

Sementara itu, berdasarkan laporan https://publicinfobanjir.water.gov.my/ tiga sungai di Kelantan melepasi paras waspada iaitu Sungai Golok di Pasir Mas yang mencatatkan bacaan 17.26 meter (m), Sungai Golok, Tumpat (2.22 m) dan Sungai Semerak, Pasir Puteh (2.12 m).

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)