IPOH,. Masalah penglihatan dalam kalangan murid sekolah rendah semakin membimbangkan apabila ramai tidak menyedari mereka mengalami gangguan biasan ma
IPOH,. Masalah penglihatan dalam kalangan murid sekolah rendah semakin membimbangkan apabila ramai tidak menyedari mereka mengalami gangguan biasan mata sehingga boleh menjejaskan proses pembelajaran di dalam kelas.
Pakar Perunding Mata dan Pakar Bedah KPJ Ipoh Specialist Hospital Datuk Dr Jasvinder Singh berkata satu kajian melibatkan 667 murid di enam sekolah rendah di daerah Kinta mendapati 91.6 peratus daripada 1,334 mata yang disaring mengalami ralat biasan (refractive error).
Beliau berkata kajian bertajuk Universal Visual Screening for School Children: Is There a Need? yang diterbitkan dalam Journal of Optometry, Eye and Health Research itu turut mendapati rabun jauh (miopia) mencatatkan kelaziman tertinggi antara 26 hingga 42.3 peratus, diikuti rabun dekat (hiperopia) dan astigmatisme.
Kajian itu ditulis Pegawai Perubatan Clinical Research Centre Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Datin Dr Harpreet Kaur.
“Amat penting untuk kita meningkatkan kesedaran masyarakat kerana ramai murid sekolah tidak menyedari mereka mempunyai masalah penglihatan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Penglihatan Sedunia 2026 anjuran Persatuan Kebajikan Amal Makmur (PERKAM) Negeri Perak di sini, semalam.
Beliau berkata tanpa intervensi awal, masalah berkenaan dibimbangi boleh menyebabkan gangguan penglihatan kekal seperti mata malas (ambliopia), terutama apabila kanak-kanak mencapai usia 10 hingga 12 tahun, sehingga keadaan itu sukar dipulihkan.
Dr Jasvinder berkata peningkatan kes rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak turut dipengaruhi faktor genetik selain penggunaan gajet dan peranti digital secara berlebihan sejak pandemik COVID-19.
Menurut beliau, tabiat melihat skrin telefon pintar dan televisyen pada jarak dekat untuk tempoh berpanjangan menyebabkan mata kanak-kanak sukar menyesuaikan penglihatan pada jarak jauh, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kadar miopia daripada sembilan peratus pada usia tujuh tahun kepada kira-kira 37 peratus apabila mencapai usia 15 tahun.
“Biasanya kita akan berikan cermin mata atau kanta lekap kepada pelajar ini supaya masalah rabun dapat dikawal dan tahapnya tidak semakin tinggi,” katanya mengenai antara langkah menangani masalah berkenaan.
Selain itu, beliau menekankan keperluan melaksanakan saringan penglihatan secara seragam di sekolah menerusi kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Dr Jasvinder berkata antara inisiatif sedia ada ialah program saringan bersama PERKAM dan Pertubuhan Pembangunan Insan Sikh Perak yang turut menyediakan cermin mata percuma tajaan NGO serta diskaun menerusi kerjasama pusat optometri bagi meringankan beban keluarga berpendapatan rendah (B40).
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Jasvinder berkata Pertubuhan Pembangunan Insan Sikh Perak turut mengoperasikan klinik bergerak bagi menyediakan saringan mata percuma kepada komuniti luar bandar termasuk di Lenggong, Gerik dan Bota.
Beliau berkata menerusi lebih 200 kem kesihatan percuma yang dilaksanakan, pelbagai masalah mata serius seperti glaukoma, tekanan mata tinggi, katarak dan retinopati diabetik dapat dikesan lebih awal, khususnya dalam kalangan penduduk yang tinggal jauh dari kemudahan rawatan pakar.
Pesakit yang memerlukan rawatan lanjut akan dirujuk ke empat hospital kerajaan yang mempunyai kepakaran oftalmologi di negeri ini iaitu Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Hospital Taiping, Hospital Teluk Intan dan Hospital Seri Manjung.
Terdahulu, Dr Jasvinder menghadiri program saringan kesihatan mata bersempena dengan sambutan Hari Penglihatan Sedunia bertemakan Love Your Eyes di sebuah pusat beli-belah di sini bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mata.
— BERNAMA

