KUALA LUMPUR,. Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Dagang NeXchange Bhd (DNeX) memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) bagi me
KUALA LUMPUR,. Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Dagang NeXchange Bhd (DNeX) memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) bagi memperkukuh pemudahcaraan perdagangan serta mempercepat penerimagunaan penyelesaian perdagangan digital dalam kalangan perniagaan Malaysia, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Dalam kenyataan bersama hari ini, MATRADE memaklumkan kerjasama itu bertujuan memperkasa Platform Perdagangan Digital MADANI (MDTP) sebagai hab eksport digital nasional utama, yang menyediakan penyelesaian perdagangan digital serta perkhidmatan pemudahcaraan perdagangan kepada komuniti pengeksport.
“Kerjasama ini akan menjadikan pemudahcaraan perdagangan digital lebih mudah diakses oleh PKS dengan menghimpunkan proses utama eksport dan kastam dalam satu platform digital.
“Dengan mengintegrasikan perkhidmatan pengikraran kastam ke dalam MDTP, kerjasama ini akan menyediakan pemudahcaraan perdagangan digital yang lebih mudah diakses dan lancar kepada PKS serta pengeksport menerusi satu platform,” menurutnya.
Sebagai rakan kongsi pemudahcaraan perdagangan, DNeX akan menyediakan akses kepada platform perdagangan digitalnya, DNeX TradeHub, termasuk sokongan teknikal dan kepakaran yang diperlukan bagi mengintegrasikan platform berkenaan dengan MDTP.
“DNeX juga akan membolehkan PKS dan pengeksport mendaftar serta menggunakan platform berkenaan, selain bekerjasama rapat dengan MATRADE bagi menyokong pelaksanaan dan penerimagunaan penyelesaian perdagangan digital dalam kalangan perniagaan yang mengambil bahagian,” menurut kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Abu Bakar Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Teknologi Maklumat (IT) DNeX Shiraz Ramli memeterai MoC itu hari ini, disaksikan Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Pengerusi DNeX Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.
— BERNAMA

