JAKARTA,. PT Bank Maybank Indonesia Tbk (Maybank Indonesia) kini beroperasi sebagai kumpulan kewangan bersepadu dengan menggabungkan perkhidmatan perb
JAKARTA,. PT Bank Maybank Indonesia Tbk (Maybank Indonesia) kini beroperasi sebagai kumpulan kewangan bersepadu dengan menggabungkan perkhidmatan perbankan dan pelbagai perkhidmatan kewangan lain dalam satu ekosistem.
Langkah itu dilaksanakan selepas bank itu menyelesaikan pengambilalihan kepentingan dalam tiga entiti perkhidmatan kewangan, iaitu Maybank Sekuritas Indonesia, Maybank Asset Management dan Asuransi Etiqa Internasional Indonesia.
Presiden Pengarah Maybank Indonesia Steffano Ridwan berkata permulaan operasi sebagai kumpulan kewangan bersepadu merupakan langkah penting dalam memperkukuh keupayaan syarikat memenuhi keperluan kewangan pelanggan di Indonesia.
“Dengan keupayaan yang lebih bersepadu ini, pelanggan kini boleh mengakses lebih banyak penyelesaian kewangan Maybank dalam satu ekosistem, merangkumi perkhidmatan perbankan, pelaburan, pengurusan kekayaan, insurans serta pelbagai perkhidmatan kewangan bukan perbankan,” katanya dalam satu kenyataan.
Penyelesaian pengambilalihan itu susulan kelulusan pemegang saham pada Jun bagi Maybank Indonesia menjadi Syarikat Induk Operasi Konglomerasi Kewangan (PIKK) bagi Konglomerat Kewangan Maybank di Indonesia, selain mengambil kepentingan majoriti dalam ketiga-tiga entiti berkenaan.
Di bawah struktur bersepadu yang diluluskan Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Indonesia (OJK), kumpulan itu kini merangkumi Maybank Sekuritas Indonesia, Maybank Asset Management, Asuransi Etiqa, Maybank Finance dan Wahana Ottomitra Multiartha (WOM Finance), selain Maybank Indonesia.
Mengulas manfaat integrasi itu, Steffano berkata usaha berkenaan membolehkan bank itu dan entiti anggotanya memperkukuh sinergi serta mengoptimumkan kekuatan dan kepakaran masing-masing dalam menyediakan penyelesaian kewangan yang lebih menyeluruh, sekali gus mewujudkan nilai tambah kepada pelanggan dan pihak berkepentingan.
Maybank Indonesia berkata kumpulan itu turut disokong oleh jaringan serantau Maybank Group, yang pada masa sama memberikan pelanggan akses rangkaian penyelesaian kewangan lebih meluas dan saling berhubung di seluruh rantau ini.
Integrasi itu juga merupakan sebahagian daripada strategi ROAR30 Maybank Group untuk memperkukuh kedudukannya sebagai kumpulan perkhidmatan kewangan terkemuka di ASEAN, di samping mengekalkan komitmennya terhadap misi Humanising Financial Services.
— BERNAMA

