
MB Selangor Ucap Takziah
Selangor, 16 Disember 2022 – Pagi tadi, negara dikejutkan dengan insiden tanah runtuh yang terjadi di Father’s
Organic Farm, sebuah tapak perkemahan yang bertempat di Kampung Kuantan,
Batang Kali, Daerah Hulu Selangor.
Sehingga jam 12:00 tengah hari ini, didapati bahawa 94 orang mangsa berada di
kawasan tersebut dan 60 orang yang melibatkan 46 pengunjung serta 14 pekerja
telah berjaya diselamatkan.
Saya mengucapkan takziah kepada keluarga 12 mangsa yang telah meninggal dunia
akibat tragedi ini; 3 kanak-kanak, 7 wanita, dan 2 lelaki.
22 mangsa belum dikesan dan operasi mencari dan menyelamat sedang giat
diteruskan yang melibatkan 446 anggota yang diketuai oleh Jabatan Bomba dan
Penyelamat Negeri Selangor serta dibantu dari segi peralatan dan anggota daripada
semua agensi kerajaan.
Agensi kerajaan telah turun ke lokasi kejadian pagi tadi bagi mengkoordinasikan
segala bantuan yang diperlukan dari pihak Kerajaan Negeri Selangor melalui
penyelarasan Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor dengan agensi-agensi
berkaitan agar mangsa yang belum dikesan dapat dicari sesegera mungkin.
Saya akan turun ke lokasi kejadian malam ini bersama YAB Perdana Menteri dan
mohon doa daripada seluruh rakyat agar pasukan mencari dan menyelamat
dilindungi Allah SWT supaya setiap mangsa yang belum dikesan dapat
diselamatkan.
DATO’ SERI AMIRUDIN SHARI
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR