
MBI selenggara jalan di sekitar Ipoh babit peruntukan RM27.1 juta
IPOH,. Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan jalan di sekitar bandar raya ini melibatkan peruntukan berjumlah RM27.1 juta bermula hari ini.
Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata kerja-kerja penyelenggaraan jalan sepanjang 25.2 kilometer membabitkan 24 lokasi itu dijangka siap sepenuhnya pada 23 Nov ini.
Beliau berkata antara lokasi yang terlibat ialah Jalan Sultan Iskandar, Jalan Kelab Golf, Jalan Toh Puan Onn Zariah, Jalan Klebang Selatan, Jalan Tasek Damai, Lengkuk Tawas Baru, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Perpaduan dan Lebuh Bandar Baru Tambun.
“Saya menerima banyak aduan daripada warga Ipoh mengenai kualiti keadaan jalan raya di sekitar bandar raya yang kurang memuaskan, setiap hari sekurang-kurangnya saya menerima tiga aduan mengenai masalah jalan raya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Rumaizi berkata pihaknya menerima peruntukan sepenuhnya daripada kerajaan Persekutuan menerusi Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (MARRIS) bagi melaksanakan kerja penyelenggaraan jalan di bandar raya ini.
“Pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan ini akan menyebabkan gangguan lalu lintas dan saya meminta warga Ipoh serta pengguna jalan raya memberi kerjasama dengan mematuhi arahan lalu lintas semasa kerja-kerja dilaksanakan.
“Kerja-kerja penyelenggaraan di sekitar pusat bandar akan dilaksanakan pada waktu malam dan kita cuba mengelakkan melakukan kerja-kerja tersebut pada waktu puncak,” katanya.
— BERNAMA