PETALING JAYA,. MBSB melancarkan tiga inisiatif strategik kemampanan, termasuk program pembiayaan Transition Advantage Financing bernilai RM500 juta,
PETALING JAYA,. MBSB melancarkan tiga inisiatif strategik kemampanan, termasuk program pembiayaan Transition Advantage Financing bernilai RM500 juta, bagi menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih mampan.
Inisiatif berkenaan dilancarkan pada MBSB Sustainability Future Capital Summit 2026 yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, pada Khamis.
Bertemakan ‘Capital with Purpose: Financing a Sustainable Future’, sidang kemuncak itu menghimpunkan penggubal dasar, institusi kewangan, pemimpin industri dan pengamal kemampanan bagi membincangkan peranan sektor kewangan dalam mempercepatkan peralihan negara ke arah ekonomi yang lebih berdaya tahan, berdaya saing dan mampan.
Program Transition Advantage Financing bernilai RM500 juta itu merupakan inisiatif pembiayaan khusus untuk membantu syarikat melaksanakan pelaburan berkaitan kemampanan dan peralihan.
Ia bertujuan mempercepatkan usaha penyahkarbonan, meningkatkan kecekapan penggunaan sumber serta memperkukuh daya saing syarikat dalam pasaran global yang semakin menitikberatkan aspek kemampanan.
MBSB turut melancarkan TRACE (Transition Readiness Assessment for Circular Economy), sebuah Platform Penasihat Ekonomi Kitaran Islamik yang pertama seumpamanya, dibangunkan dengan kerjasama RFI Foundation dan INCEIF University.
Platform itu membantu syarikat menilai tahap kesiapsiagaan kemampanan, mengenal pasti peluang dalam ekonomi kitaran serta membangunkan laluan pelaksanaan yang praktikal, selain menghubungkan peluang berkenaan dengan penyelesaian pembiayaan bersesuaian.
Inisiatif ketiga ialah Nature-Based Decarbonisation Partnership, menerusi konsortium strategik bersama Wild Asia dan HyveGeo.
Kerjasama itu menggabungkan kepakaran dalam kewangan Islam, penyelesaian berasaskan alam semula jadi dan sains karbon bagi menyokong inisiatif penyahkarbonan berimpak tinggi serta memudahkan akses kepada pasaran karbon berintegriti tinggi.
Dalam ucaptamanya, Fadillah menegaskan kepentingan menggerakkan modal bagi menyokong peralihan Malaysia ke arah masa depan yang lebih terjamin dan mampan.
“Peralihan ini merupakan satu keperluan ekonomi. Setiap pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur berdaya tahan dan industri mampan akan memperkukuh daya saing, keselamatan tenaga serta kemakmuran jangka panjang Malaysia.
“Apa yang penting sekarang ialah keupayaan kita untuk menterjemahkan aspirasi kepada pelaksanaan, serta menggerakkan modal ke arah peluang yang akan membentuk masa depan negara,” katanya.
Beliau berkata kerajaan telah menyediakan persekitaran yang menyokong proses peralihan menerusi dasar yang jelas, insentif serta pelaburan infrastruktur strategik.
Bagaimanapun, kemajuan berterusan memerlukan penyertaan kukuh daripada sektor kewangan dan industri swasta.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Rafe Haneef berkata ketiga-tiga inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen MBSB untuk menyokong aspirasi kemampanan negara melalui penggemblengan modal dan kerjasama strategik.
Beliau berkata peralihan kepada ekonomi mampan memerlukan penyelesaian praktikal, pembiayaan yang mudah diakses serta kerjasama kukuh bagi membantu perniagaan mengambil tindakan bermakna.
Menurutnya, MBSB komited menggerakkan modal ke arah inisiatif yang memperkukuh daya tahan ekonomi, mempercepatkan pertumbuhan mampan serta mewujudkan nilai jangka panjang kepada perniagaan, komuniti dan generasi akan datang.
— GERBANGPOST

