KUALA LUMPUR,. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menganjurkan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 pada 21 dan 22
KUALA LUMPUR,. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menganjurkan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 pada 21 dan 22 Julai ini, sebagai platform global untuk membincangkan era digital seterusnya serta memperkukuh peranan Malaysia dalam perbincangan kawal selia antarabangsa.
Bertemakan “Shaping the Next Digital Era: Regulation, Resilience and Trust”, acara yang berlangsung selama dua hari di sebuah hotel di sini akan menghimpunkan pengawal selia, pemimpin industri dan pakar untuk membincangkan ekonomi digital serta perkara berkaitan kawal selia dalam sektor komunikasi dan multimedia.
Menurut MCMC, persidangan yang dijangka dirasmikan oleh Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil itu bertujuan meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam dasar telekomunikasi global serta memperkukuh peranan MCMC dalam perbincangan kawal selia antarabangsa.
Antara topik utama yang akan diterokai ialah persimpangan baharu antara teknologi dengan rangka kerja kawal selia, mengimbangi kebebasan bersuara dengan keselamatan negara dan tanggungjawab sosial di media sosial, melindungi privasi data sambil membolehkan inovasi merentas ekonomi digital serta membentuk kerangka komunikasi global masa hadapan melalui penyederhanaan kandungan dan tadbir urus digital.
MCMC memaklumkan persidangan itu akan menampilkan penceramah terkemuka, termasuk Ahli Suruhanjaya MCMC Derek John Fernandez, Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia Dr Farah Nini Dusuki, Ketua Perlindungan Kanak-Kanak Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia Saskia Blume dan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Danielle Heinecke.
Penceramah lain yang turut ditampilkan, termasuk Timbalan Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Vivek Jason Jayaraj, Pengarah Kanan Hal Ehwal Serantau Internet Society Asia-Pasifik Noelle de Guzman, Ahli Psikologi Klinikal dan Pensyarah Universiti Malaya Dr Lai Siew Tim serta Ketua Jualan IBM Quantum bagi Asia Pasifik dan Jepun Rizwan Hussain.
IRC 2026 adalah kesinambungan daripada penganjuran sejak 2024 yang menyediakan platform kepada pengawal selia, pemimpin industri dan pakar untuk bertukar pandangan mengenai ekonomi digital serta isu kawal selia komunikasi dan multimedia, di samping membentuk era digital seterusnya.
sumber;
–BERNAMA

