
MDEC kumpul RM387,000 untuk petugas barisan hadapan
KUALA LUMPUR,. Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah mengumpulkan lebih RM387,000 daripada penyumbang dalaman dan luaran melalui usaha pergerakan #DigitalVsCovid bagi membantu petugas barisan hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Surina Shukri berkata kempen tersebut, yang dimulakan pada 1 April, melibatkan koordinasi antara MDEC dan syarikat-syarikat teknologi dalam mengumpulkan sokongan untuk menyediakan bekalan dan peralatan perubatan kepada profesional perubatan.
“Walaupun terjejas akibat pandemik COVID-19, perniagaan digital Malaysia terus muncul sebagai tonggak dalam masyarakat yang menerima perkhidmatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, bekalan bantuan itu merangkumi peralatan perlindungan peribadi/pakaian unit penjagaan rapi yang disteril, topeng muka tiga lapis, pelindung muka, makanan dan bekalan am termasuk lain-lain peralatan perubatan.
Antara syarikat yang menyumbang ialah Les ‘ Copaque Production Sdn Bhd, Giggle Garage Sdn Bhd, Animonsta Studios Sdn Bhd, Digital Durian, Mirayi Sdn Bhd, The R&D Studio, Vision Animation Sdn Bhd, dan Pixelline Production Sdn Bhd.
Dana tersebut disalurkan kepada IMARET, sebuah pertubuhan bukan keuntungan bertauliah yang akan mengagihkan barangan kepada hospital dan klinik kesihatan di seluruh negara.
— BERNAMA