MEDAC fokus lahir usahawan muda akar umbi – Mohd Redzuan
ALOR GAJAH,. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) fokus untuk melahirkan lebih ramai usahawan muda daripada peringkat akar umbi, kata Menterinya Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.
Beliau berkata bagi merealisasikan hasrat itu pihaknya melalui agensi pembangunan usahawan terlibat seperti Tekun Nasional (Tekun) akan melaksana langkah turun padang, bagi mendekati rakyat terutama anak muda yang berpotensi, untuk dibimbing sebagai usahawan berjaya.
“Kita mahu memberi pemahaman kepada akar umbi, bahawa aktiviti (keusahawanan) dapat dibantu Tekun bagi menjana pendapatan yang tinggi, peluang saya tengok hari ini sahaja, kalau kita nak kita boleh wujudkan 100 usahawan muda yang mampu berdaya saing.
“Kita nak beri kesedaran kepada anak muda, terutamanya tentang fokus kita untuk lahirkan ramai usahawan anak muda, jumlah usahawan anak muda masa ini bukan saya kecewa, tetapi saya agak runsing tentang masa depan mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan Karnival Usahawan Tekun Nasional di Masjid Tanah di sini yang turut dihadiri Pengerusi Tekun Datuk Mohamad Suparadi Md Noor.
Pada majlis itu juga Mohd Redzuan menyampaikan Surat Tawaran Pembiayaan Tekun, kepada empat usahawan Tekun di Masjid Tanah berjumlah RM160,000, serta Surat Tawaran Kerjasama Pembangunan Usahawan dengan DXN Holdings, KWM Craft, Bio Integrasi Sdn Bhd dan Inno Bayu Sdn Bhd.
Mohd Redzuan berkata pihaknya memfokuskan untuk melahirkan usahawan muda, daripada beberapa sektor seperti pembuatan makanan halal dan barangan mematuhi syariah, yang kini dilihat berpotensi tinggi.
“Kita akan gunakan agensi seperti Tekun bukan sahaja untuk melatih atau beri bantuan kewangan, tetapi juga untuk membuka pasaran kepada barangan yang mereka hasilkan. Contoh kita wujudkan Tekun Mart kita ambil barang usahawan Tekun kita pasarkan,” katanya.
Ditanya tentang pemilihan Ketua Bahagian Bersatu Bahagian Masjid Tanah, yang mana beliau dicabar Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Setiausaha Bersatu bahagian itu A Lukman Ab Ghani, beliau berkata terserah untuk ahli memilih pemimpin terbaik untuk mereka.
“Saya sebahagian daripada pengasas (Bersatu). Terpulang kepada akar umbi, pilih siapa yang boleh memimpin dengan baik, akar umbi kena faham serta pilih mereka yang ada ciri kepimpinan, untuk meneraju usaha memperjuang rakyat terutama Melayu, bukan memperdagangkan nasib anak cucu kita,” katanya.
Mohd Redzuan juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka berkata, siapa sahaja pemimpin yang dipilih untuk menerajui Bersatu di pelbagai peringkat, perlu memahami tanggungjawab untuk membawa taraf hidup rakyat ke tahap lebih tinggi, dan melonjakkan tahap sosio-ekonomi orang Melayu.
Bersatu Bahagian Masjid Tanah yang mempunyai lebih 3,800 ahli dan 11 cawangan dijadual bersidang dan membuat pemilihan barisan kepimpinannya pada 23 Feb ini.
— BERNAMA