
Mekanisme ASEAN tumpuan dasar Indo-Pasifik AS – kata Pompeo
KUALA LUMPUR, 7 Ogos — Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo berkata mekanisme ASEAN merupakan tumpuan visi Amerika Syarikat (AS) untuk Indo-Pasifik.
Dalam satu kenyataan ucapan tahniah kepada 10 anggota badan serantau itu sempena ulang tahun ke-53 penubuhannya pada 8 Ogos, Pompeo berkata perkongsian strategik antara AS dan ASEAN menyumbang kepada Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka.
“Bagi pihak Kerajaan AS, saya dengan sukacitanya mengucapkan tahniah kepada 10 negara anggota ASEAN dan Sekretariat ASEAN pada ulang tahun ke-53 penubuhan ASEAN pada 8 Ogos.
“Selama beberapa dekad, ASEAN telah memupuk wilayah yang lebih stabil, makmur, dan aman. ASEAN dan mekanisme pimpinannya – adalah asas kepada visi AS untuk Indo-Pasifik, sekutu dan rakan kongsi kami,” katanya dalam kenyataan itu, yang dimuat naik di laman web Jabatan Negara AS.
Presiden Donald Trump telah menjadikan penglibatan AS di wilayah Indo-Pasifik antara keutamaan pentadbirannya.
Pada November 2017, ia menggariskan matlamat untuk Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka di mana semua negara makmur saling berdampingan sebagai negara yang berdaulat dan bebas.
Mengenai COVID-19, Pompeo berkata AS dan negara-negara ASEAN telah bekerjasama melalui pelbagai cara bagi memerangi pandemik tersebut.
Beliau berkata sungguhpun berhadapan cabaran besar yang ditimbulkan pandemik itu, kedua-dua pihak membuktikan kekuatan hubungan mereka dengan memanfaatkan pihak kerajaan, sektor swasta, dan perkongsian amal bagi menyokong perkongsian kesihatan dan kemakmuran bersama.
AS, katanya, telah berikrar menghulurkan bantuan kesihatan dan kemanusiaan kecemasan bernilai hampir US$85 juta untuk membantu negara-negara ASEAN memerangi COVID-19.
“Kami akan terus mempromosi pertumbuhan ekonomi yang telus antara negara-negara kita semasa pemulihan pasca pandemik. AS melihat wujudnya perkongsian bertahun-tahun lagi dengan ASEAN,” katanya.
AS menjadi rakan dialog ASEAN pada 1977, dan hubungan AS-ASEAN meningkat menjadi perkongsian strategik pada Sidang Kemuncak AS-ASEAN di Kuala Lumpur pada November 2015.
Pada Februari 2016, ia menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak Sunnylands, Sidang Kemuncak AS-ASEAN pertama yang diadakan di AS.
— BERNAMA