
Membina keyakinan rakyat terhadap ahli politik menerusi ‘Politik Nilai’ – Mustaffa Kamil Ayub
Oleh — P Ramani
PETALING JAYA — Mengembalikan keyakinan rakyat terhadap ahli politik dan membina pasukan ahli politik yang berkualiti menjelang PRU-15 menjadi misi utama ahli politik veteran PKR Mustaffa Kamil Ayub.
Menurut Mustaffa Kamil Ayub, rakyat Malaysia semakin cerdik dan mampu membawa penilaian kritikal dimana pelbagai peristiwa dan sandiwara politik diikuti secara dekat oleh rakyat di negara ini.
“Rakyat umumnya muak, bosan serta mulai membenci sebahagian besar ahli politik.
“Ini berpunca daripada sepak terajang politik yang sarat dengan kepentingan peribadi.” kata beliau semasa ditemuramah oleh wartawan Gerbang Post.
Dalam memperkenalkan ‘politik nilai’, beliau berhasrat membawa perubahan diantaranya mengutamakan kepentingan rakyat, tidak lompat parti, mesra rakyat dan tidak sombong, bebas daripada politik wang dan politik dengan pemimpinnya tabah, sabar dan beristiqamah.
Nama Mustaffa Kamil Ayub tidak asing lagi dalam arena politik. Beliau pernah bertugas sebagai guru sekolah, Ketua Jabatan Latihan Kepemimpinan UIA, Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan dan menjadi Pengarah Kumpulan Perangsang Selangor.
Selain daripada itu beliau pernah menjadi Naib Presiden PKR dari 2004 hingga 2010, Setiausaha Agung PKR (2001 – 2004) dan dari 1999 sehingga 2000 sebagai akar umbi Angkatan Muda Keadilan.
Pada Pemilihan PKR 2022, beliau akan bertanding jawatan Naib Presiden PKR. Pemilihan Parti PKR akan diadakan pada Mei 13 hingga 18.
Tambah beliau, misi memantapkan ideologi perjuangan PKR berasaskan konsep masyarakat madani dan deklarasi Permatang Pauh 1998 melalui semaraknya program latihan, media sosial (medsos) dan seumpamanya turut akan diberi keutamaan.
Pelan ‘Menjana Kemenangan PRU 15’
Selain daripada itu, beliau juga berhasrat membantu PKR bagi kemenangan PRU15 dengan menggerakkan Pelan Tindakan Strategik yang telah dimajukan atas nama “Menjana Kemenangan PRU 15’ (MK 15), serta mengembleng gandingan reformis awal dan baharu yang setia dalam lebih 2 dekad perjuangan bagi mewujudkan pasukan yang mantap merealisasikan Agenda Reformasi Malaysia.
“Saya juga telah mencadangkan beberapa pelan tindakan dan strategik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta kepada ‘think tank’ DSAI bagi menghadapi PRU 15 atas tajuk ‘Menjana Kemenangan PRU yang ke-15 model Steve McKenzie dan Pareto.
“Saya berharap selepas pemilihan parti, kita dapat bergerak sepenuhnya bersedia menghadapi PRU 15.
“Ada berapa kandungan dimana kita perlu memantapkan sokongan daripada masyarakat Tiong Hua, India dan orang Melayu terutamanya di kawasan luar bandar.
Tambah beliau, menarik lebih sokongan daripada pengundi muda dan juga menguatkan struktur parti PKR di bawah pimpinan DSAI juga harus diberi keutamaan.
Beliau yang juga aktif sebagai Presiden Persatuan Rapat Rakyat (RAPAT) di mana visi NGO itu ialah menjadi satu badan pengerak dalam memperkasakan masyarakat madani yang proaktif, penyayang, prihatin dan berjasa kepada rakyat dan negara.
RAPAT bermula pada tahun 2000. Pengerusi pertama adalah Almarhum Wan Jusoh Wan Kolok dan Timbalannya Dato Mazlan Hasan. Manakala Dato Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi penaungnya.