
Mesyuarat Majlis Setiausaha PH, pimpinan negeri untuk perkemaskan struktur parti
PUTRAJAYA,. Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) hari ini bertemu dengan pimpinan PH negeri-negeri bagi memperkemaskan struktur gabungan parti itu di peringkat negeri, kata Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli.
“Jadi dipersetujui supaya diperkemaskan lagi dan mesyuarat dikerapkan. Kita rasa ini peluang untuk memperkemaskan PH sebagai parti pemerintah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat lebih satu jam itu di sini.
Menurut Mohd Hatta, beliau mempengerusikan mesyuarat itu kerana Ketua Setiausaha Sekretariat PH Datuk Saifuddin Abdullah, yang sepatutnya mempengerusikannya, tidak sempat menghadirinya.
Mohd Hatta berkata mesyuarat itu mendengar cadangan dan perancangan daripada setiap negeri.
“Kita dengar maklum balas dari negeri-negeri, apa masalah yang dihadapi, dan kita cuba selesaikannya secara dalam PH,” katanya.
Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkata mesyuarat hari ini tidak membincangkan apa-apa berkaitan peralihan kuasa, malah lebih fokus kepada pentadbiran PH.
“Antara perbincangan mengenai perlembagaan PH negeri sebab kita memang ada penubuhan PH negeri. Ini lebih kepada pentadbiran peringkat negeri,” kata beliau yang juga Pengerusi PH Melaka.
Sementara itu, Ketua PKR Kedah Datuk Johari Abdul berkata mesyuarat itu bersetuju supaya sekurang-kurangnya mesyuarat diadakan empat kali setahun bagi memantapkan komunikasi.
— BERNAMA