
Mindef promosi keupayaan industri pertahanan di Indonesia
JAKARTA,. Kementerian Pertahanan (Mindef) sedang mempromosikan keupayaan industri pertahanan negara dan Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LlMA) 2023 di Pameran Indo Defence 2022, di sini.
Menurut Mindef, LIMA 2023 merupakan penganjuran kali ke-16 dari 23 hingga 27 Mei 2023 di Pulau Langkawi dan dijangka menjadi pameran terbesar dalam sejarah penganjurannya.
Beberapa perjanjian penyertaan berjaya ditandatangani dengan syarikat dari pelbagai negara untuk menyertai LIMA 2023 dengan keluasan 2,000 meter persegi bersempena Pameran Indo Defence 2022 itu, kata Mindef dalam satu kenyataan.
Penganjur LIMA 2023, Alpine Integrated Solution Sdn Bhd juga sedang merancang penambahan ruang pameran memandangkan permintaan yang menggalakkan daripada pemain industri.
Mindef melalui Bahagian Industri Pertahanan dan 10 syarikat Malaysia termasuk LIMA 2023 dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) hari ini telah membuka Pavilion Malaysia sempena Pameran Indo Defence 2022 itu.
Bertempat di Jakarta International Expo, pavilion itu dirasmikan Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob dan akan dibuka sehingga Sabtu.
Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Indera Muhamad Norazlan Aris dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Industri Pertahanan Mindef, Fazidah Mustafa.
— BERNAMA