MMM, SUHAKAM meterai MoU perkukuh keselamatan wartawan, hak asasi manusia

HomeFeaturedBerita Semasa

MMM, SUHAKAM meterai MoU perkukuh keselamatan wartawan, hak asasi manusia

KUALA LUMPUR,. Majlis Media Malaysia (MMM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memformalkan kerjasama melalui pemeteraian Memorandum

Kerajaan berusaha panjangkan jaminan bekalan minyak negara – Amir Hamzah
Rampasan dadah 2025 cecah RM3.19 bilion, lonjak lapan kali ganda
RM27.66 juta bagi baik pulih perumahan swasta terbengkalai tahun ini

KUALA LUMPUR,. Majlis Media Malaysia (MMM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memformalkan kerjasama melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memperkukuh keselamatan wartawan, hak asasi manusia dan amalan media yang beretika.

Dalam kenyataan hari ini, MMM memaklumkan kerjasama itu merangkumi tiga bidang, iaitu latihan untuk pengamal media, pembangunan bersama modul hak asasi manusia dan kewartawanan, serta penubuhan Kumpulan Kerja Bersama mengenai Gender, Media dan Hak Asasi Manusia.

“Pemeteraian ini ialah kerangka kerjasama rasmi yang pertama antara MMM dengan SUHAKAM, yang masing-masing ditubuhkan di bawah Akta Majlis Media Malaysia 2025 [Akta 868] dan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597].

“Melalui MoU ini, MMM dan SUHAKAM akan terus meneroka bidang kerjasama yang praktikal bagi memperkukuh perlindungan hak asasi manusia dan amalan media yang bertanggungjawab, di samping mengiktiraf peranan penting media yang bebas, beretika dan berintegriti dalam Malaysia,” menurut kenyataan itu, hari ini.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Pengerusi MMM Tan Sri Nallini Pathmanathan dan Pengerusi SUHAKAM Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus di pejabat MMM di Petaling Jaya.

Menurut MMM, bidang pertama, iaitu latihan dan pembangunan kapasiti untuk pengamal media akan memberikan tumpuan terhadap pencegahan gangguan dan keselamatan wartawan.

Hal ini termasuklah pengiktirafan bahawa gangguan yang dihadapi oleh wartawan boleh berlaku di luar persekitaran bilik berita atau tempat kerja konvensional, dan perhatian khusus turut akan diberikan kepada wartawan wanita, pekerja bebas dan pengamal media yang bekerja dalam bentuk pekerjaan yang kurang terjamin.

Bagi bidang kedua, iaitu pembangunan bersama modul hak asasi manusia dan kewartawanan yang berteraskan piawaian antarabangsa yang berkaitan, akan merangkumi antaranya pelaporan berasaskan pendekatan kesedaran trauma, pelaporan beretika tentang pengalaman mangsa yang terselamat, perlindungan sumber yang rentan, serta representasi gender dalam amalan bilik berita dan pelaporan.

“Bidang ketiga ialah penubuhan Kumpulan Kerja yang akan dipandu oleh Concluding Observations Jawatankuasa Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) terhadap Malaysia dan Syor-Syor Umum yang berkaitan.

“Kumpulan Kerja ini akan meneliti Kod Tatakelakuan MMM melalui perspektif gender dan hak asasi manusia, mengkaji pengendalian aduan yang melibatkan kemudaratan berkaitan gender, serta membangunkan syor tidak mengikat bagi terus memperkukuh piawaian media yang responsif gender dan beretika,” menurut kenyataan itu.

Kerjasama ini dibina hasil daripada pertemuan antara MMM dengan SUHAKAM pada Februari lepas dengan kedua-dua institusi mengenal pasti beberapa bidang yang menjadi kepentingan bersama termasuk stereotaip gender dalam pelaporan media, gangguan seksual melibatkan wartawan, keselamatan wartawan, pelaporan beretika yang melibatkan kanak-kanak dan keganasan berasaskan gender, serta pengendalian aduan berkaitan tatakelakuan media.

Pertemuan itu kemudian membawa kepada penerbitan kenyataan bersama bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac lepas, dengan MMM dan SUHAKAM menegaskan komitmen mereka untuk memajukan kesaksamaan gender serta memperkukuh amalan media yang beretika.

SUMBER;

–BERNAMA