
Mohamad Norza kekal Presiden MOM, Nur Azmi Timbalan Presiden
KUALA LUMPUR,. Tan Sri Mohamad Norza Zakaria secara rasmi mengekalkan jawatan sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi penggal 2025-2029 selepas menang tanpa bertanding pada Mesyuarat Agung Tahunan MOM ke-44 di sini hari ini.
Mohamad Norza yang juga calon tunggal bagi jawatan itu terus menerima mandat oleh ahli gabungan untuk menerajui kepimpinan MOM sekali gus melanjutkan peranannya buat penggal ketiga sejak 2018.
“Saya bayangkan ‘keberkesanan dan kecekapan’, sebab saya tidak mahu ada ‘penumpang’ kerana kalau mengharapkan presiden sahaja atau timbalan presiden, kita tak akan ada unit besar.
“Unit yang besar ini memerlukan gabungan daripada semua latar belakang dan hari ini kita melihat latar belakang itu ialah satu acuan yang menarik bagi saya. Acuan yang menarik ini diperlukan untuk kita memantapkan ‘Olympic Movement’ di negara kita,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat berkenaan.
Turut mencuri tumpuan ialah pemilihan Datuk Nur Azmi Ahmad sebagai Timbalan Presiden MOM yang baharu bagi mengisi kekosongan jawatan susulan penyandang iaitu bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tan Sri Hamidin Mohd Amin tidak mempertahankan jawatan.
Nur Azmi yang juga Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) mengetepikan Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) Datuk Awalan Abdul Aziz dengan kemenangan 70-20.
“ … terima kasih kepada Mohamad Norza memberi ruang kepada saya. Saya percaya kita boleh bekerja sebagai satu pasukan. Kalau kita menang, kita menang bersama, kalau kalah, kita kalah bersama.
“Saya kena turun membantu dan selesaikan masalah. Saya harap Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara yang baharu ini boleh beri kerjasama yang baik,” katanya.
Berikut senarai penuh jawatankuasa MOM bagi penggal 2025-2029
Presiden: Tan Sri Mohamad Norza Zakaria
Timbalan Presiden: Datuk Nur Azmi Ahmad
Naib Presiden: Azizul Annuar Adenan/ Datuk Mohd Sumali Reduan/ Datuk Mohamad Iruan Zulkefli/ Nurul Huda Abdullah/ Datuk Choong Kim Fatt
Setiausaha Kehormat: Datuk Mohd Nasir Ali
Penolong Setiausaha Kehormat: Moira Tan Siew See/ Ahmad Arif Astaman
Bendahari: Datuk Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin.
Penolong Bendahari: Datuk Subramaniam Veruthasalam.
–BERNAMA