MOTAC henti daftar penginapan kediaman jangka pendek mulai 15 Feb

MOTAC henti daftar penginapan kediaman jangka pendek mulai 15 Feb

KUALA LUMPUR,. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan memberhentikan pendaftaran Penginapan Kediaman Jangka Pendek (STRA) mulai Sabtu ini bagi memudahkan pengawalseliaan aktiviti STRA di negara ini.

MOTAC dalam kenyataan hari ini memaklumkan menerusi langkah itu, hanya pihak berkuasa boleh mengambil tindakan sekiranya pemilik premis penginapan atau ejen gagal mematuhi syarat-syarat ditetapkan.

“Bagi memastikan keseragaman dasar-dasar kerajaan berkaitan STRA ini, semua ‘host’ atau pemilik kediaman tidak perlu berdaftar lagi di bawah MOTAC mulai dari tarikh tersebut,” jelasnya.

Menurut kenyataan itu, pendaftaran sebelum ini bertujuan untuk membantu MOTAC memperoleh data serta statistik yang lengkap dan terkini bagi merangka dan menyusun dasar dan strategi pembangunan negara pada masa depan bertepatan dengan trend semasa.

Kerajaan, jelasnya, telah menerima pelbagai maklum balas positif dan negatif dari penggiat industri serta orang awam mengenai aktiviti penginapan itu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi memaklumkan sebelum ini kementerian bertanggungjawab untuk mendaftarkan semua premis penginapan pelancong termasuk pendaftaran host atau ejen yang menjalankan aktiviti penginapan kediaman jangka masa pendek yang menggunakan model ‘Ekonomi Perkongsian Kediaman’ selaras dengan penetapan Akta Industri Pelancongan 1992.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )