
MOTAC PERIHATIN : Nasib Penggiat Industri Seni Tanahair Terbela Melalui Program Bantuan CAKNA Penggiat 2021
Kuala Lumpur – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) hari ini meraikan pengiat seni budaya dan warisan dari pelbagai genre dengan menyalurkan sumbangan melalui Program Cakna Penggiat 2021 kepada pengiat industri seni yang terkesan akibat penularan wabak pandemik Covid-19 bertempat di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic).
YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri MOTAC sendiri hadir bagi menyampaikan bantuan kepada 20 penerima yang layak dari sekitar Lembah Klang antaranya pelakon veteran tanahair Norlia Ghani, Ali XPDC, Shuib Freedom, Bad Indigo tidak terkecuali penggiat aktif dalam bidang seni dan budaya seperti bidang muzik, lakonan, seni visual, sejarah, tarian, seni mempertahankan diri, kraftangan dan warisan kebudayaan.
Program MOTAC Perihatian : Cakna Penggiat 2021 merupakan salah satu daripada empat sub program penjenamaan semula program sedia ada yang dirangka oleh MOTAC. Terdapat dua inisiatif bantuan kewangan dan sumbangan yang dilaksanakan di bawah program ini bertujuan untuk membantu penggiat-penggiat seni budaya dan warisan yang melibatkan bantuan kewangan kepada NGO termasuk persatuan-persatuan kebudayaan yang berteraskan seni, budaya dan warisan. Inisiatif di bawah program ini juga turut membantu memberi sumbangan kepada penggiat seni tanahair yang mengalami kesukaran hidup termasuk uzur serta masalah kesihatan dengan bertujuan bagi memastikan kebajikan penggiat seni sentiasa terbela dan diberikan perhatian sewajarnya.
Bermula dari Januari 2021 hingga Oktober 2021 pihak MOTAC telah meluluskan peruntukan sebanyak RM977,300.00 kepada 30 NGO yang terpilih bagi membantu memyemarakkan seni, budaya dan warisan ketika pandemik Covid-19. MOTAC juga menerusi inisiatif pemberian kebajikan kepada para penggiat seni dan budaya melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Budaya dan Kebajikan Penggiat Seni (KWAKKPS) sejak tahun 2014 hingga 2020 seramai 556 penggiat seni telah mendapat manfaat yang melibatkan sejumlah peruntukan RM3,065,834.00 manakala bagi tahun 2021 sahaja seramai 29 orang penggiat seni telah menerima bantuan dengan jumlah RM26,100.00.
Menteri MOTAC juga berharap agar para penggiat dan pemain industri seni budaya tidak berputus asa dan dapat menerima serta menyesuaikan diri melaksanakan program atau aktiviti seni budaya dalam suasana norma baru. Disamping itu, MOTAC juga membantu operator pelancongan dan orang ramai melalui penebusan inisiatif dalam bentuk diskaun / rebat / baucar yang ditawarkan kepada pengguna oleh Syarikat Penerbangan, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Pembelian Produk Kebudayaan juga ditawarkan kepada rakyat Malaysia.
– Joy Reyzal