Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pagi ini, didorong oleh sentimen yang semakin baik terhadap mata wang tempatan selain daripada pengukuhan harga minyak mentah, kata seorang peniaga.

Pada jam 9.03 pagi, unit tempatan meningkat kepada 4.1850/1900 berbanding dolar AS daripada 4.1865/1890 ketika ditutup pada Jumaat minggu lalu.

Seorang peniaga berkata sentimen itu turut disokong oleh pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) 2021-2025 yang amat dinanti-nanti di Parlimen hari ini yang akan menyentuh mengenai kebajikan, jurang pendapatan, keselamatan sosial dan projek-projek yang sedang dilaksanakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata krisis pandemik yang berpanjangan telah mengubah corak perbelanjaan kerajaan yang kini lebih memberi tumpuan kepada pembangunan pasca pandemik untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Bagi perkembangan luar pula, pendirian Rizab Persekutuan AS telah meningkatkan sentimen pelabur tetapi sentimen risiko juga boleh menjejaskan dolar yang sebaliknya membantu melonjakkan ringgit,” kata beliau.

Ketika ini, indeks penanda aras minyak mentah Brent mengukuh 1.52 peratus kepada AS$79.28 setong.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama yang lain.

Ringgit meningkat kepada 3.0945/0987 berbanding dolar Singapura daripada 3.0981/1004 pada penutupan Jumaat dan menokok berbanding euro kepada 4.9031/9090 daripada 4.9120/9150.

Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.7795/7843 daripada 3.7925/7951 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7201/7269 daripada 5.7359/7393 sebelumnya.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )