SHAH ALAM,.(MSU,) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai langkah strategik bagi mempe
SHAH ALAM,.(MSU,) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai langkah strategik bagi memperkukuh kerjasama antara kedua-dua institusi, khususnya dalam bidang pendidikan tinggi dan industri kreatif.
Kerjasama itu memberi tumpuan kepada pembangunan bakat pelajar, pensyarah serta pemain industri kreatif negara, di samping memperkukuh kecemerlangan akademik, penyelidikan dan pembangunan modal insan.
MoU berkenaan dimeterai oleh Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Dato’ Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid bersama Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib.
Turut hadir ialah Pengerusi FINAS, Dato’ Hans Isaac; Naib Presiden Kanan Perhubungan Industri dan Keusahawanan MSU, Profesor Dr Abdul Jalil Ghazali; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) FINAS, Datin Rozita Waty Ridzuan, serta barisan pengurusan kanan MSU dan FINAS.
Melalui kerjasama itu, kedua-dua pihak akan melaksanakan pelbagai inisiatif strategik termasuk pembangunan kurikulum, program peningkatan kemahiran semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) bagi tenaga kerja industri kreatif, selain menyediakan latihan, khidmat perundingan dan pensijilan profesional.
Kolaboratif tersebut turut merangkumi penyediaan akses kepada rangkaian industri, pemindahan ilmu melalui latihan industri pelajar, pertukaran kakitangan akademik dan pakar industri, serta pelantikan pengamal industri sebagai profesor dan pensyarah adjung.
Selain itu, MSU dan FINAS akan bekerjasama dalam penganjuran festival filem, pameran kandungan kreatif, ceramah industri, seminar dan persidangan berkaitan industri perfileman yang melibatkan penyertaan pelajar serta komuniti.
MSU juga akan menyumbang kepakaran dalam bidang Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (RDI) melalui penyelidikan bersama industri, pertukaran bahan penyelidikan, kerjasama penerbitan serta pembentangan data pendidikan dan saintifik bagi menyokong pelaksanaan pelbagai inisiatif bersama.
Di samping itu, universiti berkenaan akan menyediakan kemudahan kampus bagi pelaksanaan aktiviti kolaboratif, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk memperoleh pendedahan industri dan mengetengahkan bakat mereka di platform yang lebih luas.
Kerjasama strategik antara MSU dan FINAS itu dijangka terus memperkukuh ekosistem industri kreatif negara serta menyokong pertumbuhan berterusan sektor perfileman dan industri kreatif Malaysia menerusi kerjasama erat antara institusi pendidikan tinggi dan agensi kerajaan yang menerajui pembangunan industri kreatif negara.
— GERBANGPOST

