
MSU perkenal program ‘Dual Campus’ dan ‘Double Degree’, libatkan dua negara
SHAH ALAM,. Management & Science University (MSU) telah mengadakan majlis pelancaran program “Dual Campus” dan “Double Degree” khususnya melibatkan dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia.
Majlis berkenaan dilancar oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Inisiatif ini menyaksikan pelancaran program Dual Campus melibatkan MSU Shah Alam dengan MSU Jakarta, Indonesia, serta program Double Degree antara MSU dengan Universitas Airlangga (UNAIR) serta Jakarta Global University (JGU).
Kerjasama antara MSU serta rakan strategik luar negaranya ini membolehkan pelajar-pelajar MSU dan rakan strategiknya berpeluang untuk merasai pengalaman pembelajaran di Malaysia ataupun di Indonesia.
Hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah Presiden MSU Tan Sri Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid, Naib Canselor MSU Datuk Dr Junainah Abd Hamid, Rektor UNAIR Dr Mohammad Nasih, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid, serta pengurusan kanan MSU dan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.
Pelaksanaan program pengantarabangsaan ini dipercayai akan menyumbang kepada peningkatan aktiviti mobiliti “inbound” dan “outbound” melibatkan pelajar dan staf bagi kedua-dua negara. Ia juga memperkasakan lagi kolaboratif dengan universiti terkemuka dunia khususnya dalam aspek penyelidikan dan kerjasama lain serta membantu Malaysia menjadi “talent hub” yang diiktiraf di peringkat global.
Tambahan, kerjasama ini turut melibatkan aktiviti-aktiviti yang menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
Sehingga kini, MSU mempunyai lebih daripada 350 rakan strategik di serata dunia bagi menyokong program “international partnership” atau pengantarabangsaan ini melibatkan pelajar serta tenaga pengajar MSU dengan rakan universiti antarabangsanya merangkumi program-program mobiliti, kolaboratif dalam bidang penyelidikan, penerbitan bersama, khidmat komuniti serta kolaboratif lain.
Manakala program mobiliti MSU melalui Global Mobility Programme (GMP), Global Leadership Programme (GLP) dan Global Internship Programme (GIP) telah menyaksikan penyertaan lebih 7,000 pelajar sehingga kini.