MTDC terus komited biaya Biogenes komersial teknologi aptamer melalui Dana 3 NTIS

MTDC terus komited biaya Biogenes komersial teknologi aptamer melalui Dana 3 NTIS

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan Pembangunan Ekuiti Sdn Bhd (PESB) hari ini menandatangani perjanjian bersama Biogenes Technologies Sdn Bhd (Biogenes) bagi pengkomersialan teknologi aptamer.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohammad Hazani Hassan berkata, perjanjian itu menyaksikan Biogenes menjadi syarikat pemula pertama berjaya melengkapkan Dana 1 Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) yang dibangunkan pada 2020.

Kata Mohammad Hazani, kejayaan itu juga membolehkan Biogenes menguji penyelesaian diagnostik penjagaan kesihatannya menggunakan sampel sebenar dan akan terus dibiayai di bawah Dana 3 NTIS yang disediakan di bawah MTDC.

“Kami berbangga mengumumkan bahawa Biogenes ialah syarikat pemula pertama yang berjaya melengkapkan Dana 1 NTIS dan akan terus dibiayai di bawah Dana 3 NTIS. “MTDC juga berbangga terhadap Biogenes yang akan terus mengkomersialkan diagnostik penjagaan kesihatannya di Asia Tenggara melalui perjanjian dengan PESB,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau menambah, sejak penubuhannya pada 2020, NTIS telah menerima banyak permohonan melibatkan pelbagai teknologi. “Ini menunjukkan bahawa terdapat pasaran besar terhadap bakat dan teknologi tempatan yang perlu digilap. Setakat ini, MTDC telah meluluskan pembiayaan kepada 98 buah syarikat,” katanya.

Beliau berkata, NTIS merupakan inisiatif utama di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) untuk mempercepat dan mentransformasi negara ke arah berteknologi dan berpendapatan tinggi.
Sementara itu, Ketua Strategi PESB, Ariivazhagan Supramaniam berkata, pihaknya sentiasa komited melabur ke dalam syarikat inovatif dalam bidang bioteknologi.

“Kami telah mendapat keyakinan pelabur dan mempunyai mandat yang jelas untuk pelaburan.

“Kami sangat percaya bahawa Biogenes mampu menembusi pasaran yang besar dan menyokong pertumbuhan mereka dalam menjadi status unicorn. Pada asasnya, PESB memilih pemenang dan kami percaya telah menemuinya menerusi Biogenes,” ujarnya.

Di samping itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Biogenes menyifatkan sokongan serta keyakinan yang diberikan PESB mampu mengembangkan operasi syarikat, sekali gus menjana pendapatan.

“Melalui sokongan ini, Biogenes akan melabur ke dalam fasiliti pembuatan gred perubatan, memajukan portfolio teknologi dan memperluas jangkauan jualan ke rantau Asia Tenggara serta dunia.
“Kami menyasarkan untuk mempunyai kapasiti menghasilkan 10 juta kit ujian setahun dan membawa era baharu dalam penyelesaian diagnostik berasaskan aptamer.

“Ia akan mengendalakan diagnostik antibodi semasa dengan kos yang lebih rendah, stabil dan lebih tepat,” katanya lagi.

-Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)