
Mutiara Perlis Memetrai Memorandum Persefaman Bersama Bina Darulaman Berhad (BDB) Pembangunan Maritim Strategik
KUALA LUMPUR,. Mutiara Perlis, pemilik-pemaju Perlis Sanglang Port (PSP), bersama Bina Darulaman Berhad(BDB) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) yang melambangkan kerjasama strategik dalam pembangunan kemudahan maritim mampan di wilayah utara Malaysia.
Langkah ini menjadi tonggak penting ke arah usaha bersama untuk meningkatkan kecekapan logistik dan memperkukuh hubungan ekonomi di kawasan tersebut.
MOU ini ditandatangani oleh YM Raja Shahreen Raja Othman, Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, dan Encik Wan Ahmad Zaheed Wan Mohamad, Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mutiara Perlis, dengan disaksikan oleh Pengerusi BDB, Sr. Haji Che Had Dhali, dan Pengerusi Eksekutif Mutiara Perlis, Dato’ Shabaruddin Ibrahim.
MOU ini memfokuskan kepada pembinaan tiga (3) kemudahan utama di PSP, iaitu Pangkalan Bekalan Langkawi untuk perkhidmatan kapal RORO antara Langkawi dan tanah besar.
Pangkalan Bekalan Langkasuka untuk menyokong operasi medan minyak dan gas di rantau ini danTerminal Kargo Pukal untuk produk kering dan cecair.
Kemudahan ini akan meningkatkan perdagangan serantau dengan menambah baik kecekapan logistik, sekaligus menyokong perkembangan kawasan perindustrian di Kedah dan Perlis, termasuk Kawasan Perindustrian Lembah Chuping di Perlis, Kedah Rubber City, dan Taman Sains & Teknologi Kedah.
Terletak di pantai persisiran Sanglang yang dilindungi oleh Pulau Langkawi, PSP secara strategik diposisikan untuk menghubungkan Langkawi dengan keupayaan operasi sepanjang tahun tanpa memerlukan pengorekan. Ini akan meningkatkan kredibiliti Langkawi sebagai destinasi
pelancongan utama di Malaysia serta tuan-rumah acara antarabangsa seperti Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA).
Terminal Kargo Pukal akan memainkan peranan penting dalam mempermudah pengendalian dan pengedaran barangan kering serta cecair. Terminal ini akan menyokong industri seperti eksport mineral di samping meningkatkan kecekapan operasi Pangkalan Bekalan Langkawi untuk kapal RORO dan Pangkalan Bekalan Langkasuka untuk perkhidmatan medan minyak dan gas di rantau ini.
Melalui pendekatan integrasi ini, logistik untuk komoditi pukal dapat diselaraskan dengan lebih efisien di beberapa pelabuhan utama.
Kemudahan bersama ini juga akan dipromosikan sebagai pangkalan berpotensi untuk perkhidmatan medan minyak dan gas Langkasuka dan Andaman serta pangkalan operasi untuk agensi keselamatan Malaysia dengan aset marin.
Memperkukuh Industri Maritim Malaysia melalui Kerjasama Strategik Kerjasama ini menandakan satu lonjakan signifikan dalam landskap maritim di utara Malaysia, dengan menyokong pertumbuhan ekonomi serantau dan memperkukuh hubungan erat antara masyarakat di negeri terlibat melalui peningkatan jaringan perdagangan dan logistik.
Perlis Sanglang Port adalah projek di bawah “Pelan Pembangunan Strategik NCER 2021-2025.” Dato’ Shabaruddin Ibrahim, Pengerusi Eksekutif Mutiara Perlis, berkata “MOU ini mencerminkan komitmen kami untuk membangunkan kemudahan bersama untuk pengguna maritim di Kedah dan Perlis yang memerlukan kemudahan yang boleh digunakan sepanjang tahun tanpa halangan air surut dan cuaca.
Ia akan menjana lebih banyak aktiviti nautika yang biasanya bermusim seperti semasa cuti sekolah dan LIMA Langkawi.
Industri di Perlis juga akan berkembang dengan kemudahan pukal yang akan mengurangkan kos dan mempromosikan produk eksport berasaskan minera serantau ke luar negara.” Sementara itu, Pengerusi BDB, Sr. Haji Che Had Dhali, menyatakan “Kerjasama yang terjalin melalui pemeteraian MOU antara Mutiara Perlis dan BDB adalah satu langkah penting ke arah pembangunan kemudahan maritim strategik di utara Malaysia.
Dengan pengalaman BDB dalam pembangunan hartanah, kejuruteraan dan pembinaan serta kepakaran teknikal Mutiara Perlis, projek ini diharapkan menjadi mercutanda yang membanggakan, memperkukuhkan ketersambungan antara Sanglang Perlis dan Langkawi Kedah serta memberikan manfaat besar kepada wilayah utara tanah air. Semoga kerjasama ini berlanjutan untuk jangka masa panjang dan membuka jalan kepada peluang baru di masa hadapan.”
–GERBANGPOST