MYTV Gantung Siaran Awesome TV Bermula 2 Nov Hadapan

MYTV Gantung Siaran Awesome TV Bermula 2 Nov Hadapan

Keputusan itu dibuat berikutan isu komersial melibatkan pembayaran fi akses yang gagal menemui jalan penyelesaian sehingga kini.

Stesen televisyen Awesome TV digantung daripada bersiaran di platform MYTV berkuatkuasa 2 November hadapan. Dalam satu kenyataan yang diedarkan oleh MYTV Broadcasting Sdn. Bhd pada Khamis, MYTV memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat berikutan isu komersial melibatkan pembayaran fi akses, meskipun pelbagai usaha telah diambil oleh kedua-dua pihak dalam mencari jalan penyelesaian.

“Keputusan penggantungan ini akan berkuat kuasa bermula 2 November hadapan dan keputusan ini dicapai kerana isu komersial yang berlarutan antara MYTV dan Awesome TV yang berlarutan sehingga kini.

Penggantungan saluran Awesome TV ini adalah amat dikesali dan MYTV memohon maaf kepada penonton yang terjejas disebabkan perkara ini,” katanya. Pada masa sama, MYTV turut menyatakan komitmen mereka untuk terus menawarkan program-program terbaik kepada penonton.

Bahkan, MYTV juga berharap kedua-dua pihak dapat mencari jalan penyelesaian terbaik.

“MYTV menghargai sokongan dan kerjasama daripada penonton dan akan terus meningkatkan usaha dalam mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan semua pihak,” katanya.

Pada Mei lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendenda Awesome TV sebanyak RM250,000 atas pelbagai kesalahan termasuk beroperasi tanpa lesen yang sah. Difahamkan lesen itu dikeluarkan kepada Awesome Broadcasting Sdn Bhd tetapi ia digunakan oleh Awesome Media Network Sdn Bhd.

SKMM sebelum itu menerusi kenyataan pada 21 Februari memaklumkan bahawa pihaknya membuka kertas siasatan terhadap Awesome TV bawah Seksyen 206 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung perkara berkaitan dengan pematuhan syarat lesen.

Sepatutnya Bersiaran Hingga Ogos 2025

Sementara itu, Awesome TV dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya kesal dengan tindakan yang oleh platform MYTV kerana kedua-dua belah pihak masih dalam proses rundingan.

Awesome TV berpandangan ia layanan tidak adil daripada MYTV terhadap syarikat pemula seperti Awesome TV.

Katanya, Awesome TV dikenakan bayaran lebih tinggi berbanding stesen television percuma lain apabila perlu membayar jumlah yang tinggi untuk tempoh 30 bulan penggunaan platform MYTV manakala stesen televisyen pemula lain membayar kadar sama untuk tempoh 60 bulan.

“Berdasarkan pembayaran yang dibuat, Awesome TV boleh bersiaran hingga Ogos 2025. Awesome TV juga dinafikan subsidi SKMM yang diberikan kepada pihak pengeoperasi televisyen. Ini tindakan yang tidak adil di mata Awesome TV.

“Tindakan ini menunjukkan MYTV mempraktikkan amalan perniagaan yang tidak seimbang meskipun sedia maklum bahawa Awesome TV adalah stesen televisyen pemula swasta yang baru berusia tiga tahun,” katanya.

Awesome TV turut berpandangan bayaran yang dikenakan MYTV Broadcasting tidak berbaloi memandangkan hampir 80 peratus daripada penonton mereka adalah dari platform televisyen satelit.

“Jumlah penonton MYTV dianggarkan hanya serendah 7 juta orang berbanding jumlah penuh penonton televisyen di Malaysia sebanyak 23 juta orang.

Statistik-statistik tersebut adalah berdasarkan data yang diperolehi oleh Badan Bebas Kaji Selidik Nielsen TV Audience Measurement yang diiktiraf oleh ‘Malaysian Advertisers Association’, ‘Media Specialist Association’ dan stesen televisyen percuma lain,” katanya.

Awesome TV berharap MYTV akan memberi layanan yang sama rata seperti stesen televisyen swasta baharu yang lain agar keadilan ditegakkan.

– Getaran, 20 Oktober 2023

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )