Najib Timbang Permohonan Pengampunan Kedua – Peguam

Najib Timbang Permohonan Pengampunan Kedua – Peguam

PUTRAJAYA, 12 Feb – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang mempertimbangkan untuk mengemukakan permohonan pengampunan kali kedua kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), kata peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Beliau menegaskan bahawa sebarang permohonan baharu tidak seharusnya menjejaskan hak yang telah diberikan menerusi Titah Adendum terdahulu.

“Setakat ini, belum ada permohonan baharu yang dikemukakan. Namun, kami sedang meneliti langkah terbaik supaya ia tidak menjejaskan hak yang telah diperoleh di bawah Adendum,” katanya dalam sidang media di Istana Kehakiman, hari ini.

Menurut Muhammad Shafee, Adendum tersebut merupakan titah rasmi YDPA yang harus dihormati, dan sebarang tindakan lanjut perlu mengambil kira kesahihan dokumen serta kepentingan Najib dalam perkara ini.

Najib Arah Ambil Tindakan Undang-Undang terhadap Bekas Peguam Negara
Dalam perkembangan lain, Muhammad Shafee turut mengesahkan bahawa Najib telah mengarahkan pasukan peguamnya untuk memfailkan tindakan penghinaan mahkamah terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, berhubung pengurusan Titah Adendum.

“Kami telah menerima arahan daripada Najib untuk mengambil tindakan terhadap bekas Peguam Negara. Permohonan ini sedang dalam proses akhir dan dijangka difailkan selewat-lewatnya pada Jumaat,” jelasnya.

Beliau mendakwa bahawa keputusan Ahmad Terrirudin menyerahkan Titah Adendum kepada YDPA yang baharu adalah satu langkah yang tidak wajar kerana titah tersebut sepatutnya terus dilaksanakan.

“Titah Adendum adalah keputusan rasmi YDPA terdahulu yang perlu dihormati dan dikuatkuasakan. Bekas Peguam Negara sepatutnya melaksanakan apa yang telah ditetapkan dalam Adendum dan bukannya menyerahkannya kembali kepada YDPA semasa, yang tidak berperanan sebagai pelaksana titah itu,” katanya.

Bekas Peguam Negara Dipersoal Ketelusan
Muhammad Shafee turut mempersoalkan ketelusan Ahmad Terrirudin dalam mengendalikan isu berkaitan Titah Adendum, khususnya dalam prosiding di Mahkamah Tinggi.

“Ketika kes ini dibawa ke hadapan Hakim Datuk Amarjeet Singh, isu Adendum langsung tidak dibangkitkan, seolah-olah ia tidak pernah wujud. Malah, pihak kami dicabar untuk membuktikan bahawa Adendum itu benar-benar sah dan bukan sekadar dakwaan,” katanya.

Menurutnya, tindakan tersebut mencerminkan kegagalan dalam menjalankan tanggungjawab secara profesional dan telus, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai ketulusan proses yang telah dilakukan.

gerbangpost.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )