WELLINGTON,. Kerajaan New Zealand pada Isnin mengumumkan rancangan melarang kanak-kanak bawah 16 tahun daripada menggunakan media sosial, lapor Agensi
WELLINGTON,. Kerajaan New Zealand pada Isnin mengumumkan rancangan melarang kanak-kanak bawah 16 tahun daripada menggunakan media sosial, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Rang undang-undang itu akan mewajibkan platform media sosial yang dianggap “berisiko tinggi” oleh kerajaan mengambil langkah munasabah untuk memastikan pengguna berusia lebih 16 tahun dengan menggunakan maklumat akaun sedia ada, teknologi anggaran usia melalui wajah, perkhidmatan identiti digital dan dokumen pengenalan rasmi.
Undang-undang itu akan meliputi platform seperti Facebook, Instagram, Snapchat, TikTok, YouTube dan X.
Platform berkenaan juga perlu menilai secara berkala risiko yang ditimbulkan serta melaporkan langkah yang diambil untuk mengenal pasti dan mengurangkan risiko terbabit.
Di bawah rang undang-undang itu, syarikat yang gagal mematuhinya boleh dikenakan penalti sehingga 10 peratus daripada hasil global mereka.
Menteri Pendidikan Erica Stanford berkata kerajaan mengambil langkah untuk melindungi golongan muda dalam talian, menyokong ibu bapa dan memastikan syarikat teknologi bertanggungjawab.
“Pada masa ini, terlalu banyak risiko yang dihadapi kanak-kanak dalam talian tidak ditangani dengan sewajarnya. Kandungan berbahaya, reka bentuk yang menyebabkan ketagihan dan teknologi yang berkembang pesat semakin menjangkau golongan muda, sedangkan perlindungan sedia ada tidak berkembang seiring.
“Ibu bapa sedang melakukan yang terbaik, tetapi mereka tidak sepatutnya dibiarkan berdepan syarikat teknologi terbesar dunia secara bersendirian.
“Kita melindungi kanak-kanak daripada bahaya di dunia fizikal. Sudah tiba masanya keselamatan mereka dalam talian diberi perhatian yang sama serius,” kata Stanford.
Rang undang-undang itu masih perlu diluluskan Parlimen.
Bagaimanapun, kedua-dua rakan gabungan kerajaan, New Zealand First dan ACT menentangnya, manakala Parti Buruh selaku pembangkang masih belum menyatakan sokongan.
— BERNAMA-dpa

