
Operasi dapur musim haji dipantau ketat TH, KKM dan pihak berkuasa Arab Saudi
MEKAH,. Lembaga Tabung Haji (TH) memberi jaminan bahawa hampir dua juta pek makanan tengah hari dan malam yang diagihkan kepada jemaah haji Malaysia di Madinah dan Mekah sepanjang musim haji 1446H/2025M mengekalkan 80 peratus cita rasa masakan Malaysia, menerusi 42 jenis menu berbeza.
Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun berkata TH sentiasa menitikberatkan aspek kesejahteraan, keselamatan dan keselesaan jemaah, termasuk dalam penyediaan makanan yang tidak hanya memenuhi cita rasa Malaysia malah berkhasiat dan berkualiti tinggi.
“Kami (TH) menyediakan sebanyak 42 jenis menu untuk jemaah, dengan putaran menu sekali di Madinah manakala di Mekah ia berputar dua kali iaitu minggu pertama dan kedua, sebelum diulang semula.
“Dari segi kualiti dan keselamatan makanan, semua menu telah diteliti oleh TH serta diperhalusi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dengan nasihat daripada pakar dietetik bagi memastikan kandungan nutrisi setiap hidangan memenuhi keperluan jemaah,” katanya kepada media selepas melawat dua dapur di Dapur Al Wafa dan Makkah Kitchen di sini baru-baru ini.
Beliau berkata TH mengendalikan tujuh dapur utama di Tanah Suci bagi memastikan penyediaan makanan jemaah berjalan lancar, iaitu dua di Madinah yang terletak di Hotel Anwar Madinah Movenpick dan Hotel Emaar Royal, serta lima lagi di Mekah melibatkan dapur Al Wafa Catering, Fawzy Abo Rozeyza, Tadco Catering, Mohsen Al Amoudi dan Nakha Alia Catering.
Bagi menjamin cita rasa dan kualiti masakan yang disediakan kepada jemaah, Mohd Hisham berkata seramai 17 cef profesional dibawa dari Malaysia ke Tanah Suci.
“TH menggunakan beras basmati dari India dan daging dari Brazil, yang semuanya dijamin halal. Selain itu, premix khas turut dibawa dari Malaysia bagi mengekalkan cita rasa asli masakan seperti kurma dan sambal.
“Pada waktu puncak musim haji yang melibatkan kehadiran kira-kira 31,600 jemaah di Mekah, penggunaan bahan mentah bagi satu hidangan mencecah 3.16 tan beras, 4.74 tan protein dan 2.52 tan sayur-sayuran,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Hisham berkata operasi dapur turut dipantau pasukan perubatan Tanah Suci untuk memastikan pematuhan kepada syarat kebersihan dan keselamatan makanan seperti ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi.
“Selain itu, pihak berkuasa Arab Saudi turut menjalankan pemantauan berterusan terhadap operasi dapur yang menyediakan makanan untuk jemaah. Pemeriksaan teliti dilakukan dari segi kualiti, susun atur dan piawaian keselamatan dapur untuk memastikan memenuhi standard yang ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, jemaah haji Mahadzir Md Yusuf, 59, berpuas hati terhadap layanan dan penyediaan makanan oleh pihak TH yang turut memberi penekanan terhadap aspek kebersihan.
“Buat jemaah yang belum tiba di Tanah Suci, usah risau soal makanan. Segala yang kita rasa ingin makan, ada disediakan oleh TH. Rasa masakan Malaysia tetap ada, selain pemakanan yang sihat.
“Sekian lama saya menunggu untuk menunaikan haji, saya sangat berpuas hati dengan muassasah. Jangan risau, muassasah ini bukan ‘muassusah’,” katanya.
— BERNAMA