
PAC Adakan Pendengaran Awam Berhubung Kenaikan Premium Insurans dan Caj Hospital Swasta
KUALA LUMPUR, 12 Feb – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan mengadakan sesi pendengaran awam bagi meneliti isu kenaikan premium insurans kesihatan, caj hospital swasta, serta kesannya terhadap sistem kesihatan awam.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata sesi ini bertujuan mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan sebelum laporan PAC dibentangkan di Parlimen.
“Sesi ini memberi ruang kepada pemegang taruh untuk berkongsi pandangan secara terbuka. Semua maklum balas yang diterima akan diteliti bagi memastikan cadangan yang dikemukakan adalah menyeluruh,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Selepas sesi pendengaran awam, PAC akan meneruskan prosiding tertutup mengikut Peraturan Mesyuarat 85 Dewan Rakyat dengan menjemput wakil kementerian, agensi kerajaan, dan pemegang taruh utama untuk memberi keterangan lanjut.
Mas Ermieyati turut menyokong langkah sementara kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mengehadkan kenaikan premium insurans bagi mengurangkan beban rakyat.
“Tindakan ini membantu mengawal kenaikan premium dalam tempoh terdekat, namun penyelesaian jangka panjang perlu dirangka bagi memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan swasta yang berkualiti terus terjamin,” jelasnya.
Beliau menambah, PAC bersedia untuk membantu kerajaan dalam merangka pembaharuan sistem kesihatan swasta melalui sesi perbincangan yang menyeluruh bersama pemegang taruh serta mengambil kira maklum balas rakyat.
Dua sesi pendengaran awam telah dijadualkan: AC Marriott Hotel, Bukit Jambul, Pulau Pinang pada 14 Februari dan Dewan Banquet, Blok Utama Parlimen Malaysia pada 21 Februari, kedua-duanya dari 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Sesi ini akan dikendalikan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.
Sehingga kini, 243 individu telah mendaftar, termasuk wakil Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Persatuan Pembekal Farmaseutikal Malaysia, Persatuan Farmasi Malaysia, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan, serta Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
Pada Disember lalu, BNM telah mengarahkan syarikat insurans dan takaful yang menawarkan perlindungan kesihatan supaya melaksanakan pelarasan premium secara berperingkat sehingga akhir 2026, dalam usaha mengurangkan beban pemegang polisi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut memberi amaran bahawa kerajaan tidak akan berkompromi jika syarikat insurans menaikkan premium tanpa justifikasi yang kukuh.