KUANTAN,. Kerajaan Negeri Pahang berjaya mengutip hasil negeri sebanyak RM921.72 juta, setakat semalam, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy
KUANTAN,. Kerajaan Negeri Pahang berjaya mengutip hasil negeri sebanyak RM921.72 juta, setakat semalam, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata pencapaian itu menyumbang 72 peratus daripada keseluruhan sasaran hasil negeri sebanyak RM1.279 bilion bagi 2026.
“Prestasi ini menunjukkan kedudukan kewangan kerajaan negeri kekal kukuh dan berada pada landasan yang betul untuk mencapai sasaran hasil tahun ini,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mohd Sharim Md Zain (BN-Chini) mengenai pencapaian utama Kerajaan Negeri Pahang bagi 2026 dari segi prestasi ekonomi, kutipan hasil negeri serta pelaksanaan agenda Pahang 1st .
Beliau berkata pertumbuhan ekonomi Pahang terus mencatatkan prestasi kukuh dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri meningkat kepada RM71 bilion bagi 2025, berbanding RM68.8 bilion pada tahun sebelumnya.
Katanya, kerajaan negeri merekodkan pelaburan komited sebanyak RM11.47 bilion hingga Ogos 2026, manakala pelaburan yang telah direalisasikan pula berjaya mencecah RM1.044 bilion.
Selain itu, Wan Rosdy berkata kedudukan kewangan stabil serta perkembangan ekonomi dan sosial yang mantap telah membolehkan kerajaan negeri terus memulangkan manfaat secara langsung kepada rakyat.
Beliau berkata bahawa prestasi ekonomi yang menggalakkan membolehkan kerajaan negeri memperuntukkan RM173.93 juta secara keseluruhan bagi pelaksanaan inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) dari 2024 hingga 2026.
“Pecahan peruntukan IM Pahang merangkumi RM38.8 juta pada 2024, RM50.54 juta bagi 2025, dan melonjak kepada RM84.59 juta pada 2026,” katanya.
Beliau berkata pihaknya berhasrat meningkatkan peruntukan bagi inisiatif itu pada tahun hadapan menerusi pembentangan Belanjawan Negeri Pahang akan datang.
— BERNAMA

