Pasaran minyak sawit global alami defisit kecil pada 2022/2023

Pasaran minyak sawit global alami defisit kecil pada 2022/2023

KUALA LUMPUR,. Pasaran minyak sawit global dijangka mencatat defisit kecil sebanyak 100,000 tan pada 2022 dan 2023 — kedudukan bersih tahunan negatif pertama sejak 2015/16 berikutan peningkatan mandat pengadunan biobahan api Indonesia, kata Fitch Solutions.

Bagaimanapun, laporan Penyelidikan Risiko Negara dan Industri Fitch Solutions mengekalkan unjurannya bagi tempoh terdekat mengenai harga minyak sawit pada purata tahunan RM3,800 satu tan sepanjang 2023 berserta risiko kenaikan selain RM3,400 satu tan sepanjang 2024.

“Bagaimanapun, kami mengambil maklum bahawa unjuran kami bagi 2023 lebih terarah kepada kenaikan pada masa ini dengan purata hanya minyak sawit itu pada RM3,977 satu tan setakat tahun ini,” katanya dalam laporannya hari ini.

Fitch Solutions juga menjangkakan bahawa mandat pengadunan biobahan api lebih tinggi akan menambah permintaan industri Indonesia terhadap minyak sawit pada kadar hampir satu perempat pada 2023 berbanding 2022.

Ini akan meningkatkan jumlah penggunaan minyak sawit domestik bertambah daripada 17.8 juta tan kepada kurang 20.0 juta tan yang menyamai kenaikan 10.1 peratus tahun ke tahun, sekali gus mengurangkan bekalan minyak sawit Indonesia bagi pasaran eksport global.

“Namun, faktor yang boleh mengekang kenaikan harga minyak sawit adalah pengumpulan stok simpanan minyak makan di India yang juga pengguna kedua terbesar dan peimport terbesar minyak tersebut di dunia,” katanya.

Fitch Solutions berkata evolusi harga minyak sawit bagi jangka pertengahan kekal tidak berubah dengan purata harga pada RM3,000 satu tan pada 2025; RM2,600 satu tan pada 2026 dan RM2,200 satu tan pada 2027 yang meredakan keseimbangan pengeluaran dunia secara berperingkat.

Menurutnya dari segi penawaran, faktor yang mendorong kepada pembalikan harga adalah kebimbangan mengenai kekukuhan pengeluaran di Malaysia yang juga pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia yang mana inventori akhir bulan merosot ke paras terendah dalam tempoh lima bulan pada penutupan Januari.

“Bagi permintaan dalam tempoh terdekat, sentimen kenaikan harga adalah berdasarkan kepada permintaan China yang membuka semula ekonominya pasca dasar sifar COVID-19.

“Penyusutan nilai ringgit Malaysia sehingga Februari, hanya menambah sokongan terhadap harga. Bagaimanapun, pasaran minyak sawit kekal tidak menentu berikutan permintaan kukuh susulan peningkatan stok minyak makan di India serta keadaan makroekonomi di Pakistan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )