Pasaran saham terus catat peningkatan

Pasaran saham terus catat peningkatan

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia meneruskan kenaikan semalam untuk dibuka tinggi pada Selasa walaupun bursa serantau mengalami prestasi suram pada pembukaan dagangan, mengambil petunjuk daripada prestasi bercampur-campur dalam tempoh semalaman di Wall Street.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran, meningkat 5.97 mata kepada 1,617.78 daripada 1,611.81 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks utama itu dibuka 4.18 mata lebih tinggi kepada 1,615.99.

Bagaimanapun, di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 263 berbanding 245 manakala 324 kaunter tidak berubah, 1,346 kaunter tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 313.40 juta unit bernilai RM189.60 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menjelaskan FBM KLCI meneruskan kenaikan berturut-turut dan mengatasi prestasi bursa serantau pada Isnin, memandangkan ia mencatatkan peningkatan semula sekali gus mengimbangi penurunan yang dialami kaunter berwajaran tinggi sarung tangan.

Menurut firma pembrokeran itu, peralihan minat pelabur kepada saham yang mencatatkan kenaikan semula ditambah dengan penjualan saham secara meluas sehingga mengakibatkan harga susut di Wall Street mungkin terus mempengaruhi sektor teknologi pada Selasa.

Dari segi komoditi, harga minyak sawit mentah (MSM) melonjak untuk menghampiri paras tertinggi dalam tempoh 10 tahun pada RM3,963 satu tan manakala pelabur mungkin mengharapkan kadar pengangguran Malaysia yang diumumkan pada Selasa dapat menjadi pemangkin pasaran, jelasnya dalam nota penyelidikan.

“Pada masa ini, kami yakin indeks utama kekal berada di atas paras 1,600.

“Bagi sektor tumpuan, kami percaya pelabur dijangka menumpukan saham perladangan susulan harga MSM yang meningkat, manakala saham yang didorong pemulihan seperti pengguna, perjudian, penerbangan dan pengangkutan mungkin terus memperoleh daya tarikan memandangkan kes COVID-19 berkurangan,” katanya.

Malacca Securities menjelaskan saham pembinaan dan hartanah juga mula menyaksikan minat dagangan setelah mencatatkan prestasi tidak memberangsangkan berbanding dengan pasaran meluas.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan Tenaga masing-masing menambah empat sen kepada RM8.54 dan RM10.44, manakala Public Bank naik tiga sen kepada RM4.43.

Petronas Chemicals susut dua sen kepada RM8.33 dan IHH Healthcare turun tujuh sen kepada RM5.22.

Bagi saham aktif, Sealink naik dua sen kepada 30.5 sen, TA Win meningkat satu sen kepada 38.5 sen, Dagang Nexchange menokok setengah sen kepada 72.5 sen, sementara AirAsia X dan CME Group masing-masing tidak berubah pada 9.5 sen dan 6.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 22.02 mata kepada 11,745.79, Indeks FBMT 100 meningkat 23.95 mata kepada 11,454.50 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 1.05 mata kepada 12,882.47.

FBM ACE merosot 67.39 mata kepada 10,158.64 dan FBM 70 kurang 40.18 mata kepada 15,152.31.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 73.77 mata kepada 15,763.77, Indeks Perladangan naik 8.08 mata kepada 7,123.87, sementara Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.35 mata kepada 187.05.

– Bernama

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )