Pekebun kecil dan pengilang sawit digesa bangunkan industri biogas – Johari

Pekebun kecil dan pengilang sawit digesa bangunkan industri biogas – Johari

SEREMBAN,. Pekebun kecil dan pengilang sawit digesa untuk mengambil peluang menyertai dan membangunkan industri biogas yang telah terbukti dapat memberi manfaat dan nilai tambah, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata industri tersebut boleh mewujudkan peluang pekerjaan, menjana ekonomi dan pendapatan tambahan serta pengurusan sisa sawit yang lebih baik sekali gus menyumbang kepada peningkatan taraf hidup masyarakat luar bandar.

“Sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia, Malaysia menekankan pelaksanaan ekonomi kitaran (circular economy) di semua peringkat penghasilan produk sawit bagi pengurusan sisa yang lebih baik.

“Pemerangkapan biometana daripada sisa industri sawit seperti efluen kilang kelapa sawit (POME) dapat digunakan sebagai antara sumber tenaga boleh baharu untuk penjanaan elektrik,” katanya.

Johari berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan kementerian tersebut selepas lawatan beliau ke Loji Biogas Cenergi Sua Betong, Port Dickson, di sini, hari ini.

Menurutnya, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) memperuntukkan 190 Megawatt (MW) kuota tarif galakan (FiT) bagi 2025 merangkumi projek biogas, biojisim dan mini hidro termasuk 50 MW biogas dan 40 MW untuk biojisim dan akses sambungan grid yang lebih luas bagi merealisasikan projek itu.

Justeru, katanya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) digesa untuk mempertingkat lagi kapasiti sambungan kilang-kilang sawit ke grid nasional bagi membolehkan pengilang sawit melabur dan mendapat manfaat daripada penggunaan sisa biojisim sawit untuk penjanaan tenaga boleh baharu.

Beliau berkata sebanyak 63.5 juta tan POME dihasilkan pada 2022 yang mampu menghasilkan 1.8 bilion m³ biogas yang berupaya menjana purata 1.22 gigawatt (GW) tenaga setahun.

“Biogas ini boleh digunakan sebagai bahan api bagi penjanaan elektrik ke grid nasional, bahan api penghasilan stim dalam dandang, dimampatkan sebagai bioCNG atau disalurkan ke grid gas nasional,” katanya.

Johari berkata sejak Januari 2014, semua kilang sawit baharu atau yang meningkatkan kapasiti diwajibkan memasang sistem pemerangkapan biogas dan daripada 446 kilang sawit yang beroperasi, 170 kilang telah dilengkapi dengan fasiliti tersebut setakat Disember 2024 melepasi sasaran Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) sebanyak 155 kilang.

“Inisiatif ini menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 4.9 juta tan karbon dioksida (CO2),” katanya.

Sementara itu mengenai lawatan hari ini, Johari berkata ia bertujuan untuk melihat sendiri perkembangan industri biogas negara.

“Cenergi SEA Berhad dan kumpulan syarikatnya (Cenergi), anak syarikat kepada UEM Lestra Berhad, merupakan antara syarikat penyedia penyelesaian tenaga mampan negara yang mengkhusus dalam membangunkan industri hijau di Malaysia termasuk tenaga boleh baharu, pengurusan sisa, dan infrastruktur hijau,” katanya.

Beliau berkata setakat ini Cenergi mempunyai 20 loji biogas yang sedang beroperasi seluruh negara dan 12 loji lagi sedang dalam pembinaan dengan jumlah kapasiti penjanaan elektrik sebanyak 52.8MW dan kapasiti bioCNG sebanyak 65,000MMBtu.

–BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )